Sabtu, 10 Mac 2012

Najib akan muktamadkan semua calon BN, mahu pastikan kemenangan




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan bakal mengadakan pilihan raya pada separuh pertama tahun ini. — Gambar fail.
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak mungkin akan mengadakan pilihan raya pada separuh pertama tahun ini, mengarahkan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) muktamadkan senarai calon tetapi beliau akan membuat keputusan akhir calon bagi memastikan kemenangan, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri memberitahu menterinya agar isu Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan Pusat Fidlot Nasional (NFC) diselesaikan segera sebelum mengadakan pilihan raya umum.

Ini bermakna Najib mungkin tidak akan memperbaharui jawatan senator Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selepas 8 April dan menamatkan kerjaya menterinya walaupun telah didedahkan NFC yangdiketuai keluarganya menggunakan dana kerajaan untuk tujuan lain.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan Najib telah menyemak pertukaran pemegang saham MAS-AirAsia yang dibuat pada Ogos lalu tetapi masih belum mendapat sebarang perjanjian.

"Ini seperti pusingan terakhir untuk BN sebelum pilihan raya umum diadakan. Najib telah memberitahu pemimpin BN bahawa beliau akan muktamadkan semua senarai calon termasuk mereka punya," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Setiap parti dalam BN kebiasaannya akan memberikan senarai calon yang diluluskan pengerusi tetapi Najib menekankan agar meletakkan "calon boleh menang", calon-calon yang boleh mengekalkan dan mendapatkansemula kerusi daripada 222 kerusi Parlimen dan negeri-negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat - Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Terdapat kebimbangan beberapa pemimpin parti komponen yang boleh menjejaskan peluang BN mendapatkan semula kemenangan dua pertiga Parlimen mungkin tidak akan dipilih sebagai calon.

"Najib mempunyai dua matlamat, pertama mendapatkan sekurang-kurangnya memenangi 140 kerusi yang diperoleh Pak Lah semasa pilihan raya umum 2008 dan kedua mendapatkan semula kemenangan dua pertiga majoriti," tambah sumber itu, merujuk kepada saiz kemenangan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada pilihan raya umum 2008 yang diadakan pada 8 Mac.

Tetapi kebimbangan utama perdana menteri penggal pertama ini adalah jumlah isu-isu kontroversi yang menjejaskan gabungan itu di peringkat akar umbi walaupun usaha bersepadu diadakan untuk memenangi semula hati rakyat dengan menggunakan inisiatif ekonomi.

Kontroversi ekonomi mendahului tajuk-tajuk utama di portal-portal berita dan akhbar pembangkang dengan maklumat terperinci tentang pinjaman mudah RM250 juta kerajaan untuk projek ternakan lembu yang digunakan untuk membiayai rangkaian restoran, kondominium mewah dalam dan luar negara. Keluarga Shahrizat menafikan melakukan kesalahan sementara polis mencadangkan tindakan pecah amanah diambil.

Bagaimanapun Peguam Negara memulangkan semula kertas laporan polis untuk siasatan lanjut manakala Shahrizat telah menyaman pemimpin pembangkang yang mengatakan beliau terlibat dalam pemberian projek kepada keluargnya. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penglibatan Shahrizat namun masih belum mengumumkan sebarang keputusan.

Najib berkata kedudukan Shahrizat dalam Kabinet adalah haknya apabila didesak menggugurkannya termasuk dari bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Umno lain.

"Sukar untuk kami menjelaskannya kepada rakyat apabila kami turun ke bawah. Mereka mahu tahu mengapa keluarga beliau (Shahrizat) boleh mendapat RM250 juta tetapi mereka tidak boleh mendapat pinjaman kecil daripada bank untuk memperbesarkan ladang atau perniagaan," kata pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor disoal pelbagai persoalan daripada Umno Johor minggu lepas semasa membuat tinjauan persediaan pilihan raya. Pemimpin dari negeri kelahiran Umno itu memberitahu beliau mereka bimbang tentang jumlah isu yang berpunca daripada Putrajaya dan pemimpin tertinggi Umno.

"NFC telah pun menjadi isu dan sekarang Kidex. Bagaimana kami mahu jelaskannya kepada rakyat yang melihat Umno sebagai mesin yang mendatangkan kentungan?" kata seorang pemimpin Umno Johor, merujuk peruntukan RM2 bilion lebuh raya Kinrara-Damansara yang diberikan kepada konsesi peguam Umno Tun Zaki Azmi.

Pemimpin Umno Sabah juga memberitahu The Malaysian Insider beliau menyokong langkah Najib menyemak semula perjanjian MAS-AirAsia walaupun ia menyukarkan pengguna di negeri itu.

"Saya tahu MAS melihat tentang kos tetapi ia perlu mengawal pemerolehan dan pendapatan sebelum memotong laluan-laluan yang menjadi garis pelancongan kita," katanya merujuk kepada laluan program rasionalisasi sejak enam bulan lalu yang memperlihatkan jumlah penerbangan yang kurang ke negeri itu.

Najib telah mula menyelesaikan beberapa isu utama yang melanda pentadbiran beliau termasuk tindakan balas dari kakitangan awam apabila beliau menggunakan semula skim gaji lama dengan beberapa penambahbaikan selepas dibantah hebat.

Semalam, beliau berjanji penyelesaian dalam tempoh dua minggu kepada mereka yang tidak menggunakan Lebuhraya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL) tetapi dipaksa bayar RM9.10 apabila melintas dari Causeway untuk ke kompleks Imigresen.

Ia dilihat satu peningkatan keyakinan Najib, satu kajian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan kadar sokongan terhadap beliau naik 10 peratus kepada 69 peratus selepas memulihkan prestasi ekonomi negara dan pelaksanaan pemberian wang bantuan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Kajian dilakukan Merdeka Center mendapati perdana menteri mendapat sokongan kuat di kalangan rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, dengan empat perlima komuniti India dan 74 peratus masyarakat Melayu turut memberikan Najib sokongan.

Tetapi kurang daripada separuh 1,022 pengundi bulan lalu berkata “mereka gembira dengan kerajaan.”

Populariti presiden Umno ini menghadapi penurunan sejak memperoleh sokongan tertinggi 72 peratus pada Mei 2010, sebelum menurun kepada 69 peratus pada November tahun sama sebelum menjunam kepada 59 peratus pada Ogos 2011.

Ekonomi negara telah pulih daripada penguncupan kecil pada 2009 dengan mencatat perkembangan 7.2 peratus pada 2010 sebelum pertumbuhan kembali perlahan tahun lalu.

Tiada ulasan: