Sabtu, 17 Mac 2012

Makan malam muslimat meriah, Presiden jelas kenapa tidak bersama Umno

Harakahdaily,

(Dewan Shah Alam Convention Centre penuh dengan peserta yang menyertai majlis makan malam dengan pemimpin malam tadi)


SHAH ALAM,: Lebih 1,500 termasuk Mursyidul Am dan Presiden PAS menyertai majlis makan malam bersama pemimpin anjuran Dewan Muslimat PAS Pusat malam tadi.

Mereka memenuhi dewan besar Shah Alam Covention Centre dan menjadikan ia antara majlis makan malam terbesar yang dibuat untuk memungut dana pilihan raya PAS.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang antara yang mengucapkan tahniah di atas kejayaan majlis itu.

(Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz di SACC malam tadi)

Di samping makan dengan selesa dan berselera, para tetamu sempat mendengar ucapan mereka berdua di samping berdilog dengan Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Yusof.

Turut berucap malam tadi adalah timbalannya, Dr Siti Mariah Mahmod.

Selain mereka, Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan isteri turut hadir di majlis itu.

Kenapa tidak bersama Umno

Dalam ucapannya malam tadi, Abdul Hadi memberikan penjelasan dengan jelas kenapa PAS tidak bersama Umno walaupun sudah didesak dan dipujuk oleh parti nasionalis itu beberapa kali.

Abdul memberikan alasan, sejak PAS mengambil alih Kelantan pada tahun 1990 lagi sebagai sebab mengapa PAS tidak boleh bersama dengan Umno.

(Istreri dua pemimpin utama PAS turut serta malam tadi...Datin Tuan Sabariah [kiri] Datin Seri Zainab [tengah] dan Siti Zailah)

"Apabila PAS memerintah Kelanta, kerajaan pusat telah melambat-lambatkan capitation grant kepada kerajaan negeri Kelantan dengan satu alasan sahaja iaitu mendera PAS.

"Apabila PAS menang di Terengganu, atas desakan perwakilan di mesyuarat agung Umno, kerajaan pusat telah merampas royalti minyak yang menjadi hak rakyat Terengganu.

"Apakah kerajaan Kelantan dan Terengganu ini Cina ke India...bukankah ini kerajaan Melayu jika mereka kata nak bersatu atas nama Melayu.

"Semasa kerajaan Sabah dimenangi oleh PBS pun, kerajaan pusat tidak menyekat royalti minyak kepada Sabah," kata Abdul Hadi mendedahkan tembelang Umno yang sebenarnya.

Bagi beliau, Melayu akan maju dan bermaruah dengan Islam tetapi yakinlah Melayu akan layu tanpa Islam dan hanya dengan Melayu sahaja.

Ustaz Abdul Hadi juga membangkitkan hubungan PAS dengan Umno dalam kerajaan persekutuan ketika PAS menyertai BN akibat peristiwa 13 Mei 1969.

(Nik Aziz bersalam dengan salah seorang kanak-kanak yang menyertai majlis malam tadi)

Ia pula dibuat hasil dari satu keputusan yang dicapai dalam satu muktamar khas yang dianjurkan oleh PAS.

"Kita berusaha melaksanakan Islam dalam pentadbiran dan berjaya membuat banyak perkara juga tetapi apabila kita mahu laksana Islam lebih jauh, pergeseran berlaku.

"Hasilnya PAS ditendang keluar dari BN," kata Abdul Hadi mengibau peristiwa 1978 apabila PAS ditendang keluar dari BN.

Beliau menjelaskan isu itu panjang lebar selepas ditanya oleh salah seorang peserta majlis makan malam itu kenapa PAS tidak bersama dengan Umno padahal Umno bertalu-talu berusaha mahu bersama PAS.

Tiada ulasan: