Sabtu, 17 Mac 2012

Loji IPP terbesar, kerajaan gagal kemuka tender terbuka

Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan gagal mengemukakan tender terbuka bagi projek loji jana kuasa IPP berkapasiti 1,000MW, yang merupakan loji berdasarkan batu arang yang terbesar di Asia Tenggara.

Kerajaan semalam memaklumkan projek di Tanjung Bin itu diberikan secara tender terhad kepada Tanjung Bin Power (TBP) dan Jimah Energy ventures (JEV).

“Apa sebabnya loji ini ditawarkan secara rundingan terus dan tidak secara tender terbuka? Dan apakah terma dalam perjanjian konsesi dengan kerajaan?,” Soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Menurut Tony Pua, alasan kerajaan yang memberikan projek secara terus kepada JEV dan TBP kerana perlu disiapkan dalam masa singkat, juga tidak munasabah kerana ia hanya akan beroperasi pada 2016.

Katanya, jika projek itu mahu disiapkan segera, kenapa hanya dua syarikat sahaja dipanggil mengambil bahagian dalam “tender tertutup” itu seperti dinyatakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Banyak IPP yang ada di Malaysia yang berminat boleh mengambil bahagian. Industri IPP juga besar dan matang,” kata Tony Pua.

Beliau juga mempersoalkan mengapa terma dan jumlah wang yang digunakan untuk membayar projek ini, tidak dinyatakan.

Pada masa sama, kerajaan masih lagi belum menetapkan kadar tarif serta tempoh konsesi dan ia hanya akan dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan dijangka diselesaikan hujung tahun 2011.

Menurutnya, tidak hairan jika tarif elektrik negara ini masih tinggi berbanding di negara jiran walaupun kerajaan membelanjakan wang yang besar untuk subsidi kepada IPP.

“Gas asli dijual kepada IPP Malaysia pada RM13.70 mmBtu, manakala di negara Thailand dijual RM23.10 mmBtu.

“Tetapi rakyat Malaysia perlu membayar RM157.20 bagi penggunaan 500kW sebulan berbanding RM129.50 perlu dibayar oleh rakyat di negara Tahiland,” soalnya.

Tiada ulasan: