Jumaat, 9 Mac 2012

Ling Liong Sik diarah bela diri

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik membela diri terhadap tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas bekas bekas presiden MCA itu.

NONELing didakwa menipu kerajaan apabila beliau didakwa tidak mendedahkan kepada kabinet yang diketuai Tun Dr Mahathir pada masa itu mengenai kadar faedah tahunan tambahan sebanyak 7.5 peratus berhubung pembelian tanah untuk projek tersebut.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) telah menentukan bahawa harga tanah berkenaan, termasuk kadar kupon atau faedahnya pada RM1.09 bilion berdasarkan nilai kadar RM25 sekaki persegi.

Dalam penghakimannya sepanjang 83 halaman, Ahmadi berkata Ling telah mengetahui bahawa kerajaan perlu membayar dengan harga lebih tinggi daripada nilai RM1.09 bilion memandangkan beliau telah diberitahu mengenai perkara itu dalam satu mesyuarat terdahulu, namun tidak mendedahkannya kepada kabinet.

"Saya tidak teragak-agak apabila mendapati tertuduh telah mempengaruhi kerajaan untuk meluluskan harga berkenaan, yang mana kerajaan tidak akan berbuat demikian sekiranya mereka tahu mengenai faedah 7.5 peratus."

NONETambahnya, seseorang yang berpendidikan, dengan wibawa dan latarbelakang seperti Ling tidak boleh memindahkan tanggungjawab dengan mendakwa telah diberi maklumat salah memandangkan menteri itu perlu mengetahui kandungan perjanjian tersebut.

Sebagai seorang anggota kabinet dan dengan tanggungjawab kementeriannya, Ling perlu mendedakan kos sebenar tanah berkenaan kepada kabinet, kata Ahmadi lagi.

Katanya lagi, Dr Ling juga tahu bahawa menteri itu boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan apabila gagal mendedahkan faedah 7.5 peratus itu.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002. [Baca berita penuh]

Sementara, Bernama melaporkan, Dr Ling, yang diwakili peguam Wong Khian Keong. Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah telah memanggil 25 orang saksi termasuk menteri kabinet dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan JPPH.

Bagi pertuduhan pertama, Dr Ling didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun
atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dr Ling telah didakwa pada 29 Julai 2010 dan dibicarakan selama tiga bulan bermula 1 Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Dr Ling berkata beliau bersedia untuk memberi keterangan membela diri terhadap tiga pertuduhan berkenaan.

"Ya, sudah pasti, tetapi atas nasihat peguam saya," katanya di luar mahkamah apabila ditanya oleh media sama ada beliau bersedia untuk memberi keterangan selepas mahkamah memerintahkannya membela diri terhadap pertuduhan itu.

Ditanya mengenai saksi pembelaan yang akan dipanggil pada peringkat pembelaan, Dr Ling berkata beliau akan lakukan apa yang perlu berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: