Isnin, 5 Mac 2012

KSSB, Adun Nafi Terlibat Kes Penyelewengan Pasir Selangor

Post Pic


SHAH ALAM, : Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Wan Abdul Halim Wan Ismail menafikan bahawa syarikat milik kerajaan negeri itu memberi sebarang tender pasir kepada sebuah syarikat yang dikaitkan kepada Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafie dan Adun Batu Caves,Amirudin Shari.

Penjelasan itu bagi menafikan tuduhan Pengarang Malaysia Today,Raja Petra Kamarudin bahawa dua Adun itu telah bersekongkol dengan seorang usahawan untuk mendapatkan tender pasir daripada KSSB.

Raja Petra mendakwa, Shuhaimi dan Amirudin adalah antara lima pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd yang mengemukakan tender berkenaan dan dibayar RM5,000 sebulan.

Wan Abdul Halim menegaskan bahawa pihaknya tidak memberikan sebarang kontrak kepada Double Dignity.

Beliau berkata, syarikat yang berminat diwajibkan berdaftar dengan KSSB sebelum mengemukakan permohonan menerusi tender terbuka.

"Double Dignity tidak pernah berdaftar dan tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menggali pasir,"katanya.

Sesi pendengaran awam berhubung isu penyelewengan pasir ini tertangguh sejak tahun 2010 namun ia disambung semula ekoran pendedahan Raja Petra mengenai pembabitan kedua-dua Adun PKR ini dalam skandal pasir ini.

Selain menyatakan elaun bulanan yang diterima kedua pemimpin PKR ini, Raja Petra turut memuat-naik satu salinan surat dari Amirudin kepada KSSB untuk menyokong permohonan Double Dignity bagi mendapatkan kontrak perlombongan pasir.

Sementara itu, Shuhaimi yang merupakan saksi pertama Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) juga menafikan bahawa beliau pernah melobi untuk mana-mana syarikat bagi mendapatkan kontrak KSSB.

"Seingat saya, saya tidak pernah menolong mana-mana syarikat secara langsung atau tidak langsung untuk mendapatkan mana-mana kontrak Kumpulan Semesta yang dibuka kerana ia dalam bidang yang berbeza,"katanya.

Beliau sekali lagi mengesahkan bahawa mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan kontrak pasir di Selangor haruslah berdaftar dengan KSSB dan Double Dignity tidak berbuat demikian.

Ia sekaligus menyebabkan isu surat sokongan tidak pernah timbul.

Amirudin pula yang merupakan saksi kedua memberitahu beliau sebagai ahli lembaga pengarah Double Dignity tidak pernah berurusan dengan KSSB dalam mendapatkan sebarang kontrak permohonan perlombongan pasir.

"Saya tidak pernah ada apa-apa hubungan dengan KSSB yang menguruskan pasir di Selangor. Saya tidak pernah menghubungi melalui telefon, emel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan apa-apa juga komunikasi kepada KSSB untuk mempengaruhi dan saya tak kenal pun ahli lembaga pengarah KSSB ketika itu," ujar beliau.

Ahli Jawatankuasa SELCAT yang hadir dalam sesi pendengaran tadi adalah Hanizah Talha, Azmin Ali, Saari Sungip, dan Sulaiman Abdul Razak.

Tiada ulasan: