Khamis, 15 Mac 2012

Kontraktor Melayu sokong 4 projek k’jaan negeri

Harakahdaily,


GEORGETOWN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKMMPP) menyatakan sokongan di atas hasrat kerajaan negeri untuk membina empat projek infrastruktur yang dicadangkan.

Projek-projek infrastruktur itu ialah terowong bawah laut 6.5 km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth), jalan 15 km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang, jalan pintas 5 km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas 5 km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

“Kami sangat mengalu-alukan projek-projek tersebut kerana ia bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang serta akan memacu pembangunan ekonomi negeri, terutamanya di SPU,” kata Timbalan Yang Dipertua PKMMPP, Datuk Izham Omar Merican.

Beliau berkata, projek-projek yang dicadangkan itu akan membawa faedah kepada semua rakyat SPU termasuk masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di SPU.

Justeru, katanya terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam dengan Gurney Drive akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang kritikal.

Tambahnya, terowong tersebut akan melengkapkan kesalinghubungan di antara Seberang Perai dan Pulau Pinang, kerana Jambatan Pertama berada di SPT manakala Jambatan Kedua akan berada di SPS.

“Hanya SPU masih tidak mempunyai hubungan dengan pulau,” katanya di dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, terowong bawah laut itu akan sekaligus memastikan bahawa orang Melayu di SPU akan dapat menikmati pembangunan yang setara dengan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

“Tambahan pula, kami yakin bahawa projek-projek ini, khususnya terowong bawah laut, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang mudarat kepada penghuni-penghuni kawasan-kawasan yang terbabit. Malah, kami rasa ia akan membawa kemajuan kepada mereka,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pihaknya juga juga bersetuju dan yakin dengan janji kerajaan negeri bahawa semua prosedur dan peraturan yang berkenaan akan dituruti, seperti proses rundingan umum untuk rekabentuk, pemilihan laluan dan juga kajian kesan alam sekitar.

Beliau berkata, semua proses-proses ini hendaklah dipersetujui terdahulu sebelum kelangsungan projek-projek tersebut.

Menurutnya, sekiranya terdapat masalah yang tampil semasa proses-proses tersebut, dan jika projek-projek tersebut didapati kurang sesuai, maka ia tidak akan dilaksanakan.

“Sungguhpun begitu, kami yakin bahawa semua syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan akan dipatuhi dan diluluskan.

“Justeru, saya ingin menyatakan sekali lagi sokongan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang ke atas projek-projek infrastruktur yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya lagi.

Tiada ulasan: