Selasa, 27 Mac 2012

Kilang Radioaktif Tidak Boleh Di Selangor




SHAH ALAM : Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan usul bagi menolak sebarang permohonan pembinaan kilang-kilang pemprosesan bahan radioaktif di Selangor.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata industri bahan radioaktif adalah amat berisiko dan memerlukan kos dan kepakaran yang tinggi.

“Industri yang melibatkan penggunaan radioaktif adalah sangat berisiko tinggi untuk dilaksanakan kerana memerlukan beberapa aspek yang perlu di ambil kira sebelum kita melaksanakannya,” ujar Weng San yang membentangkan usul tersebut.

Rakyat juga telah menolak pembinaan loji-loji yang serupa dan ini ditunjukkan di dalam himpunan 110,000 rakyat memprotes loji Lynas di Kuantan, Pahang baru baru ini.

Weng San menambah gempa bumi 8.9 richer yang mencetuskan tsunami dan pemusnahan stesen jana nuklear pada 2011 harus menjadi contoh terbaik buat rakyat menilai keselamatan bahan radioaktif.

Menyokong usul tersebut, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari turut berkata rakyat tidak seharusnya tergesa-gesa untuk mengejar pembangunan tanpa memikirkan kesannya yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

“Manusia tergesa-gesa mengejar pembangunan yang mengatasi kekangan dan halangan akan memudaratkan generasi akan datang.”

Usul tersebut disokong oleh ADUN Pakatan Rakyat dengan sebulat suara.

Tiada ulasan: