Rabu, 14 Mac 2012

Kemelut SBPA cacatkan transformasi Najib

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


Presiden Umno dan perdana menteri Najib Razak baru-baru ini telah melakukan satu lagi kesilapan yang jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang tidak mempunyai pendirian yang teguh.

Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diilhamkan oleh Najib sebelum ini telah dimansuhkan terus oleh beliau sendiri dan kini semuanya berbalik kepada skim lama iaitu Sistem Saraan Malaysia (SSM). Beginilah usaha pembaharuan yang asyik diketengahkan oleh beliau selama ini.

Skim SBPA yang telah dimansuhkan itu pada mulanya diperkenalkan bagi membolehkan kakitangan awam menikmati kenaikan gaji yang lebih menyeluruh dan pada masa yang sama memastikan tahap keberkesanan mutu perkhidmatan setiap di antara mereka. Objektif SBPA ini adalah bertujuan untuk merombak keseluruhan sektor perkhidmatan awam agar badan tersebut dapat menjadi efisien, produktif, berdaya saing dan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat jelata. Di samping itu, skim tersebut juga adalah merupakan salah satu daripada rancangan transformasi yang dipelopori oleh Najib bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi dan lumayan untuk kakitangan awamnya.

Matlamat dan isi kandungan SBPA

Apakah matlamat sebenarnya SBPA ini? Ianya adalah merupakan satu skim baru yang menitik beratkan penilaian terhadap prestasi kakitangan awam di mana ianya merangkumi pemerhatian terhadap mutu kerja setiap kakitangan awam dan pada masa yang sama mengenalpasti mereka yang tidak dapat menunjukkan prestasi atau bersaing agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil demi memelihara imej sektor awam.

Selain daripada itu, SBPA ini juga bertujuan untuk memastikan agar tenaga kerja di dalam sektor awam ini tidak terbazir dengan begitu sahaja di mana semua kakitangan awam akan dipastikan mempunyai peranan untuk dimainkan di jabatan atau agensi masing-masing. Tambah pula, jumpah kakitangan awam kini telahpun melonjak secara mendadak kepada 1.4 juta orang dan pemerhatian wajar diberikan terhadap kenaikan jumlah kakitangan yang begitu tinggi sekali.

Namun demikian, ramai kakitangan awam mula merasa bimbang dan terancam dengan SBPA ini kerana syarat-syarat yang dianggap boleh menyebabkan kebanyakan daripada mereka kehilangan kerja dan pencen apabila skim tersebut dilaksanakan kelak. Nampaknya hampir kesemua kakitangan awam telah banyak dimanjakan selama ini dan kini merasai yang SBPA ini bakal menggugat kedudukan mereka tidak lama lagi.

Yang lebih membimbangkan para kakitangan awam ini adalah, di bawah SBPA, kalangan mereka dari gred yang lebih rendah Gred 54 dan ke bawah) akan mempunyai perbezaan yang sungguh ketara di antara kadar baru gaji mereka dengan 2600 lagi orang pegawai kanan yang mempunyai gred yang lebih tinggi. Suatu perbezaan kadar yang telah mencapai hampir 1000% dan kebimbangan ini bolehlah dianggap agak munasabah jika dilihat dari sudut kebajikan para pekerja.

Difahamkan kakitangan awam gred 54 dan ke bawah ini akan hanya menikmati kadar kenaikan di antara 7% hinggalah 13% sahaja, sementara mereka yang berada di skala C dan ke atas akan menikmati kenaikan sehingga RM5,000. Ini bermakna kakitangan awam gred rendah akan hanya menerima kenaikan gaji serendah RM1.70 sementara Ketua Setiausaha Negara akan menerima kenaikan gaji sehingga ke RM60,000 sebulan dan para pegawai staf kanan pula akan memperolehi kadar gaji yang baru sehingga RM36,000 sebulan.

Tentangan terhadap SBPA

Umumnya, krisis SBPA ini bermula dari sini. Apa yang sepatutnya dianggap sebagai hadiah buat semua kakitangan awam kini telah bertukar menjadi satu bebanan kepada kerajaan pula.

Perlaksanaan SBPA ini asalnya dijadualkan pada 1 Januari 2012 tetapi ianya terpaksa ditangguhkan dan sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi mengkaji semula dan menyelesaikan beberapa masalah yang berkaitan dengan skim tersebut. Wakil-wakil daripada Kongress Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut dijemput untuk menyertai jawatankuasa khas itu bagi membantu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merangka semula SBPA tersebut.

Najib telah memberikan jawatankuasa khas tersebut tempoh selama tiga bulan untuk membaik pulih dan merangka semula SBPA agar ia dapat diterima oleh semua kakitangan awam. Akan tetapi, menjelang penghujung bulan Januari, presiden Cuepacs Omar Osman memberi kata dua kepada kerajaan agar beberapa lagi pemimpin utama Cuepacs perlu dilantik bagi menganggotai jawatankuasa khas tersebut bagi membantu merangka semula skim tersebut. Pada 5 Februari, kerajaan bersetuju menerima tuntutan Cuepacs itu.

Akan tetapi, pada 8 Mac yang lalu, sebelum tamatnya tempoh tiga bulan, Najib dengan segera mengumumkan bahawa SBPA telah dimansuhkan serta merta. Secara mengejut Najib menyebut, “keputusan pemansuhan SBPA ini dibuat berdasarkan kepentingan perkhidmatan awam pada keseluruhannya”. Hanya untuk kepentingan perkhidmatan awam sahaja kononnya! Bagaimana pula dengan kepentingan rakyat dan negara ini?

Apakah yang telah berlaku pada program transformasi Najib ini yang menjanjikan satu perkhidmatan awam yang lebih efisien, produktif, berdaya saing dan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat? Bagaimana pula dengan rancangan seterusnya bagi membolehkan sektor perkhidmatan awam ini menjana pendapatan yang lebih tinggi dan lumayan untuk para kakitangan awamnya, sebagai satu langkah untuk mencegah, membendung dan membanteras rasuah, salahguna kuasa dan pecah amanah? Transformasi ini sedang menuju kehancuran rupa-rupanya.

Politik jijik BN

Hakikatnya, pengumuman Najib untuk memansuhkan SBPA ini adalah satu tindakan politik yang jijik semata-mata. Dengan terangnya iai telah menunjukkan bahawa pilihanraya umum ke-13 akan diadakan pada masa yang terdekat, kerajaan BN pimpinan Najib ingin memastikan agar agar longgokan kakitangan awam ini akan sentiasa menyokong BN kerana sektor awam kini menyumbangkan kadar undian yang paling besar jumlahnya kepada BN pada setiap pilihanraya umum. Oleh itu, Najib perlu memastikan kakitangan awam tidak marah dan akan menikmati kadar kenaikan gaji yang munasabah sebelum beliau membubarkan parlimen tidak lama lagi.

Sementara itu, timbalan presiden Umno yang juga timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin yang bertegas menafikan ramalan mengenai pemansuhan SBPA itu mempnyai kaitan dengan pilihanraya umum yang akan datang. Adakah Muhyiddin akan juga menafikan bahawa pemansuhan SBPA ini adalah disebabkan oleh kegagalan perlaksanaan dasar kerajaan BN yang menyeluruh. Adakah kita dapat mendengar kenyataan Muhyiddin yang sebaliknya?

Bagaimana ianya bukan disebabkan oleh kegagalan perlaksanaan dasar sedangkan tempoh tiga bulan yang diberikan oleh Najib untuk mengkaji semula SBPA itu ditarik balik secara tiba-tiba? Dalam erti kata yang kedua, SBPA ini langsung tidak diberikan peluang untuk bercambah.

Muhyiddin seterusnya mengakui bahawa SBPA itu sememangnya mempnyai lebih banyak kelemahan berbanding dengan kelebihan juga kita lihat dari sudut kebajikan para kakitangan awam. Adakah Muhyiddin akan mengakui sememangnya ada kecacatan dalam SBPA sejak dari mula lagi dan masalah tersebut sengaja diabaikan dengan begitu sahaja.

Dan menurut timbalan menteri pengajian tinggi, Saifuddin Abdullah, pemansuhan SBPA itu menunjukkan kerajaan BN prihatin akan masalah dan kehendak rakyat. Saifuddin berlawak jenaka rupa-rupanya! Adakah langkah-langkah ini merupakan keprihatinan kerajaan BN terhadap masalah rakyat ataupun hanya untuk memelihara jumlah undi untuk BN semata-mata?

Apakah sebenarnya manfaat yang rakyat jelata bakal perolehi dengan mansuhnya SBPA ini? Jawapan jelas adalah langsung tidak ada kerana kedua-dua perkara ini tidak bersangkut paut.

Yang rakyat akan terus “menikmati” adalah kelembapan kakitangan awam di dalam perkhidmatan mereka kepada rakyat dan negara, ketiadaan produktiviti, tidak ada daya saing yang baik serta mutu kerja yang tidak memuaskan. Dan belanjawan kerajaan BN akan terus menghadapi defisit kerana terpaksa menggaji lambakan kakitangan awam yang berjumlah 1.4 juta orang di mana lebih separuh daripadanya adalah tidak produktif langsung.

Tiada ulasan: