Khamis, 1 Mac 2012

Kegagalan sistem pengangkutan awam, BN asyik beri alasan

Vikor Wong, Malaysia Chronicle


Sudah lebih 50 tahun negara kita merdeka dan BN yang juga telah memerintah negara kita lebih daripada 50 tahun, dengan dakwaan kononnya mereka ini ini penuh dan punyai pengalaman yang luas dalam menguruskan kerajaan, namun sistem dan kemudahan pengangkutan awam di negara kita ini masih di dalam keadaan yang memeritkan sehingga ke hari ini.

Sehinggalah ke hari ini, rakyat jelata masih mengeluh pada setiap hari mengenai pelbagai masalah dan karenah sewaktu berada di atas jalanraya ataupun semasa menggunakan kemudahan pengangkutan awam untuk berulang-alik dari rumah ke pejabat dan dari pejabat ke rumah.

Kegagalan kerajaan BN untuk menangani masalah tersebut yang semakin berleluasa saban hari jelas terpapar pada muka setiap rakyat yang menggunakan jalanraya dan kemudahan pengangkutan awam untuk berurusan. Oleh itu para pemimpin BN perlu bertanggungjawab penuh ke atas kegagalan tersebut.

Yang kita sering perhatikan adalah di hampir kesemua projek mega dan pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN dipaparkan papan tanda yang besar dengan perkataan “Satu Lagi Projek Oleh Kerajaan Barisan Nasional” bagi mengingatkan rakyat akan “jasa” BN itu pada setiap hari.

Selain daripada itu, risalah-risalah dan panduan pelancongan negara juga sering memaparkan destinasi yang bewarna-warni, bangunan-bangunan bercakar langit, struktur-struktur yang canggih, perkhidmatan monorail yang berteknologi tinggi, keindahan dan keunikan lapangan terbang antarabangsa KLIA serta lain-lain daya tarikan yang dapat menarik perhatian pelancong asing untuk ke negara kita. Ya, memang menarik apabila diperhatikan kesemua risalah pelancongan tersebut dari mata kaca kita.

Akan tetapi, apabila kesemua bentuk pembangunan, projek dan tarikan ini dibina dengan menggunakan sumber-sumber daripada tanah rakyat dan wang-wang yang telah diperoleh juga daripada rakyat telah mengakibatkan lebih daripada 10 juta rakyat, bahkan juga lebih daripada 10 ribu murid-murid sekolah dan warga emas terperangkap di tengah-tengah perjalanan mereka hampir pada setiap hari sewaktu dalam perjalanan mereka dari rumah ke pejabat, dari rumah ke sekolah dan sebaliknya, apakah penjelasan kerajaan BN terhadap semua masalah tersebut.

Kenapa wang ringgit yang diambil daripada hasil titik peluh rakyat oleh kerajaan BN ini untuk tujuan pembangunan dan perlaksanaan projek perlu dibalas pula penderitaan yang sebegini? Ini tidak berbaloi sama sekali kerana apa nilai yang rakyat bayar perlulah dibalas dengan nilai perkhidmatan yang cekap dan efisien, kalau pun sekurang-kurangnya ia memuaskan hati rakyat.

Sebaliknya ia tidak terjadi!

Apakah menteri-menteri kita buat?

Apakah sebenarnya langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh menteri-menteri yang berkenaan bagi menangani masalah dan karenah sedemikian? Kenapalah menteri-menteri negara kita ini langsung tidak punyai kebolehan untuk menawar atau memberikan kepada rakyat jelata suatu sistem pengangkutan awam yang lebih baik dan efisien.

Sudah lebih 50 tahun BN memerintah, ditambahkan dengan ratusan projek pembangunan yang menyeluruh di negara ini, namum ianya tidak menampakkan sebarang penyelesaian yang lebih berkesan terhadap masalah sistem dan kemudahan pengangkutan awam yang kian memeritkan.

Janji demi janji ditaburkan, bila tiada tindakan, diberikan pula alasan kononnya kajian sedang dijalankan dan diminta masa sehingga beberapa tahun untuk suatu penyelesaian diputuskan. Masalahnya, ramai kroni-kroni BN yang diberikan kontrok untuk menguruskan kesemua projek-projek mega dan pembangunan dan juga menguruskan sistem serta kemudahan pengangkutan awam. Jadi, apakah kesudahannya?

Adakah para pemimpin BN ini benar-benar peka akan penderitaan rakyat yang telah sekian lama terperangkap di dalam kesesakan lalulintas yang begitu buruk sekali pada setiap hari, dari pagi hinggalah malam. Kesesakan ini bukanlah suatu fenomena yang biasa tetapi telah bertukar menjadi sesuatu yang amat tragik sekali, di mana kesesakan tersebut sentiasa mencecah di antara 5 hingga 10 kilometer.

Beranikah para pemimpin BN dan mentri-menteri kabinet mencuba pengalaman sebegini di tengah-tengah kotaraya?

Kenderaan kian bertambah

Dengan kesesakan lalulintas dan masalah sistem serta kemudahan pengangkutan awam yang sehingga kini masih tidak menampakkan sebarang penyelesaian, ianya diburukan lagi dengan penambahan jumlah kenderaan di permukaan jalan ini. Ianya dikatakan sedang berlaku hampir setiap hari.

Jika ditinjau pada setiap isi rumah pada hari ini, kita boleh dapati hampir setiap ahli keluarga mempunyai kenderaan mereka sendiri, malah ada sebuah keluarga boleh memiliki antara 4 hingga 6 buah kenderaan. Bolehkah kita salahkan mereka ini kerana tidak atau enggan menggunakan kemudahan pengangkutan awam?

Selain itu, tempat letak kereta di komuter KTM akan dipenuhi kenderaan seawal 5 pagi pada setiap hari. Kos dan bayaran tempat letak kereta pula semakin meningkat. Dan adakah kerajaan BN serta menteri-menterinya tahu apakah yang sedang berlaku?

Dapatkah para menteri kerajaan BN ini memahami bahawa keadaan kesesakan lalulintas ditambah pula dengan kenaikan kos tempat letak kereta dan juga pembaziran produktiviti rakyat jelata terhadap keadaan sebegini. Adakah para pemimpin BN ini sedar bahawa murid-murid sekolah akan berada di atas jalanraya seawal 5 pagi pada setiap hari.

Adakah para penggubal dasar BN ini menyedari bahawa jutaan rakyat di negara ini akan hanya dapat sampai kembali ke rumah mereka selepas jam 8 malam di mana waktu pejabat sebenarnya tamat pada jam 5 petang setiap hari? Adakah para penggubal dasar BN ini menyedari apakah yang mengakibatkan penambahan jmlah kenderaan di atas jalan pada setiap hari?

Dan jawapan yang lazim diberikan oleh para pemimpin BN ini adalah kerajaan senantiasa mengkaji langkah-langkah baru yang lebih berkesan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalulintas serta meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan awam.

Yang lebih buruk lagi, ada menteri-menteri dan pemimpin BN yang menjawab “tidak ada negara di dunia ini yang tidak menghadapi masalah kesesakan lalulintas”. Maknanya mereka ini langsung tidak berminat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Para pemimpin BN sekalian, usah beri sebarang alasan lagi. Kalau tidak mampu, mengakulah kamu semua tidak mampu lagi, kalau gagal, mengakuilah kegagalan kamu dan usah berbohong dan berikan macam-macam alasan ataupun berdolak-dalih mengenai masalah tersebut.

Kita ambil contoh di kotaraya Bangkok di Thailand dan Taipei di Taiwan, walaupun ianya adalah merupakan antara dua metropolitan yang paling sibuk, namum masalah kesesakan lalulintas di dua negara tersebut adalah pada tahap yang paling minima. Ini adalah kerana sistem dan kemudahan pengangkutan awam di negara tersebut adalah sangat efisien. Selain daripada itu, jalan-jalanraya, lebuhraya dan terowong banyak dibina dan dibangunkan di dua kotaraya tersebut bagi memudahkan rakyat Thailand dan Taiwan untuk berurusan dan menjalankan tanggungjawab harian mereka.

Konspirasi untuk pastikan Proton terus hidup

Oleh kerana masalah tersebut langsung tidak menampakkan sebarang penyelesaian, rakyat mula mensyaki yang keadaan tersebut adalah merupakan suatu konspirasi kerajaan BN untuk memastikan pengeluar kereta nasional, Proton yang asyik mengalami kerugian, akan terus dapat menguasai pasaran tempatan.

Ini adlaah hakikat! Apabila kesesakan lalulintas semakin buruk, ditambah pula dengan keadaan kemudahan pengangkutan awam yang tidak efisien, rakyat akan memilih untuk memiliki kenderaan sendiri sebagai suatu jalan penyelesaian. Dan oleh kerana kos sesebuah kenderaan import dan berkualiti adalah lebih mahal, rakyat pula akan terpaksa memilih jenama kenderaan yang lebih murah, kurang bermutu dan berpatutan seperti Proton.

Bolehkah kita menyeru rakyat agar tidak membuat andaian sedemikian? Sudah tentunya tidak, oleh kerana keadaan dan masalah tersebut sudah pun terpapar di muka setiap rakyat. Jadi, haruskah rakyat disalahkan pula kerana inginkan sebuah kenderaan sendiri?

Apakah maknanya pembangunan, projek-projek mega dan pembinaan struktur-struktur yang begitu canggih sekali serta membanggakan negara, sedangkan rakyat jelata tidak dapat menikmati sebarang manfaat tersebut. Apakah maknanya segala pembangunan tersebut, sekiranya projek-projek tersebut tidak dapat membawa apa-apa keselesaan kepada rakyat, bahkan menambah lagi penderitaan dan penyiksaan psikologi terhadap rakyat jelata.

Apakah yang perlu dibanggakan dengan laungan “Malaysia Boleh” sedangkan rakyat masih terus menderita pada setiap hari dan tidak mempunyai masa yang berkualiti dan mencukupi untuk dinikmati bersama keluarga? Ya, “Malaysia Boleh”, kroni- kroni BN akan terus bertambah kaya! Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: