Jumaat, 2 Mac 2012

Kedudukan Ahli Parlimen Sabak Bernam Akan Ditentukan Majlis Tertinggi Umno

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Majlis Tertinggi Umno akan menentukan kedudukan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dalam parti itu setelah beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status Abdul Rahman yang merupakan Ketua Umno Sabak Bernam itu.

"Legal standing pemimpin Umno adalah mengikut Majlis Tertinggi bukan bahagian ataupun badan perhubungan negeri," katanya.

Mohd Zin berkata, kedudukan Abdul Rahman selaku Ahli Parlimen juga akan ditentukan selepas proses undang-undang selesai.

Mahkamah Sesyen Rabu lalu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri dan pembantu tadbirnya, Rosli Busro bagi lapan pertuduhan membuat tuntutan palsu yang disabitkan terhadap mereka.

Mereka juga didenda RM400,000 setiap seorang oleh Hakim Azhaniz Teh Azman Teh yang mengarahkan kedua-dua tertuduh menjalankan hukuman itu serentak bermula 29 Febuari.

Azhaniz turut mengarahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara selama setahun bagi setiap hukuman denda sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan.
Selasa lalu, hakim mensabitkan Abdul Rahman atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, empat tahun lalu.

Rosli disabit kesalahan bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesalahan itu.

Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan Program Motivasi Pelajar di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO), Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO, Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.

Dia didakwa melakukan semua perbuatan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tiada ulasan: