Sabtu, 24 Mac 2012

Keadilan untuk Syauqey: Kutipan 15 ribu dalam 50 jam

Lim Hong Siang


Dalam tempoh 50 jam, sumbangan sejumlah RM 15,000 telah berjaya dikutip, dan dimasukkan ke dalam akaun isteri Ahmad Syauqey, Salwati Mohd Ariffin. Fadiah Nadwa Fikri dari Lawyers For Liberty, bagi pihak rakan Ahmad Syauqey telah menerima sumbangan tersebut daripada Pow Kien An, dengan MerdekaReview sebagai saksi penyerahan tersebut.

Ia bermula apabila MerdekaReview membuat laporan khas pada 19 Mac 2012, berjudul "Ahmad Syauqey: Kenapa harus saya bayar wang kepada peguam untuk membela saya?", lantas tercetus idea oleh aktivis sosial Wong Chin Huat untuk memanggil satu kutipan derma bagi Ahmad Syauqey.

Pow Kien An (gambar kiri, paling kanan) mengakui bahawa beliau bukan satu-satunya orang yang terlibat dalam usaha ini. Ramai lagi yang membantu untuk mengumpulkan wang derma ini, namun enggan mendedahkan identiti diri. Matlamat yang disasarkan adalah RM10 ribu pada mulanya, untuk menampung kos guaman dan kos sara hidup keluarga Ahmad Syauqey. Kempen ini telah diumumkan tamat pada jam 11 malam, 22 Mac, dengan sejumlah RM15,000 dikutip.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Pow Kien An berkata dirinya telah memohon izin daripada isteri Ahmad Syauqey sebelum melancarkan kutipan derma ini. Pow enggan menggunakan istilah "membantu", sebaliknya memohon agar diberi peluang untuk menyumbang kepada Ahmad Syauqey.

"Saya rasa terhutang budi kepada Ahmad Syauqey (gambar kanan)," kata Pow, menjelaskan bahawa Ahmad Syauqey sebagai seorang warga sivil telah melaksanakan haknya yang diperuntukkan di bawah undang-undang, dan beliau kini terpaksa berdepan dengan keadaan yang menimpanya.

Semalam, Pow telah berkongsi mesej daripada Salwati Mohd Ariffin yang diterimanya melalui sms, di laman Donate To Free Syauqey.

"Saya dan keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sumbangan yang diberikan. Setiap yang disumbangkan untuk membantu orang yang dizalimi itu ganjarannya amat besar di sisi Tuhan. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas segala jasa baik semua. Saya amat terharu dengan usaha semua.

Terima kasih banyak. Semoga kalian semua dimurahkan rezeki oleh Yang Maha Kuasa.
"

Salwati Mohd Ariffin kini adalah ibu kepada tiga orang anak, pada masa yang sama sedang mengandung, terpaksa menyara hidup sekeluarga dengan gaji RM1,500 sebulan.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan


Fadiah dari Lawyers For Liberty menganggap kes Ahmad Syauqey adalah contoh yang mencerminkan situasi bagaimana mereka yang tidak mampu dari segi ekonomi, gagal dibela peguam. Beliau mengisahkan pengalaman yang disaksinya sendiri di Majistret Kuala Lumpur, bagaimana mereka yang direman memohon agar hakim memberi masa yang lebih panjang kepada mereka ketika menentukan tarikh perbicaraan, kerana perlu "menjual harta milikan diri untuk membayar peguam".

Ini bukan kes terasing, sebaliknya 80% daripada mereka yang ditahan dan direman di penjara, gagal diwakili peguam. Fadiah (gambar kiri) berkata, jalan penyelesaiannya bukan untuk mencari khidmat peguam yang percuma, kerana peguam mungkin mampu mengendalikan beberapa kes, tetapi bukan kesemuanya. Untuk Fadiah, kerajaan harus memperuntukkan dana agar tertuduh mendapat hak untuk khidmat guaman.

Fadiah mengambil kesempatan untuk mengkritik Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak pada Februari 2011, dengan geran permulaan RM 5 juta. Sebagaimana yang difahamkan Fadiah, yayasan ini masih di peringkat "perbincangan", sekadar "lips service" yang masih tidak memperlihatkan hasil konkrit.

Fadiah menganggap jumlah RM5 juta terlalu sedikit untuk menyelesaikan masalah ini, menyeru agar kerajaan Malaysia menjadikan model sistem bantuan guaman di Taiwan, Hong Kong dan New Zealand sebagai rujukan, di mana hak untuk mendapat khidmat guaman terbela di sana, dengan peruntukan daripada kerajaan, menggunakan wang cukai rakyat.

Baca: Kutipan derma langkaui batas kaum: Solidariti menentang keganasan polis

Baca: Ahmad Syauqey: Kenapa harus saya bayar wang kepada peguam untuk membela saya?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: