Rabu, 28 Mac 2012

Isu Tanah: Teng kata Adun Kuang silap

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri tiada lagi Adun yang duduk dalam jawatankuasa tanah untuk meluluskan tanah.


Sekitar Dun Selangor


PETALING JAYA: Sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, tiada lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menjawat jawatan di pejabat tanah negeri.

Speaker Datuk Teng Chang Khim menjelaskan perkara berkenaan apabila Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan tanah seluas 16.5 ekar di Bandar Klang.

“Fakta yang diberikan Abdul Shukor itu silap sedangkan tiada lagi Adun yang dilantik di dalam jawatankuasa tanah sejak Pakatan memerintah. Adun Kuang membuat fakta yang silap tentang kedudukan saya sebagai ahli jawatankuasa tanah dalam pejabat tanah.

“Perkara itu tidak berlaku dalam pemerintahan Pakatan memandangkan tiada lagi Adun yang duduk dalam jawatankuasa tanah untuk meluluskan tanah,” kata Teng yang juga Adun Sungai Pinang dalam sidang media semalam selepas tamat sidang Dun bagi Mac 2012.

Abdul Shukor pada sidang dewan 22 Mac lalu mendakwa tanah itu mempunyai kaitan dengan ketirisan dengan aset Yayasan Selangor.

Beliau mendakwa Adun dari DAP itu (merujuk kepada Teng) mungkin boleh menjelaskan status tanah tersebut.

“Difahamkan tanah ini sekarang telah diambil balik oleh kerajaan negeri dan Yayasan Selangor diberi pampasan. Tidak pasti sama ada tanah ini telah diluluskan kepada pemohon lain.

“Mungkin Adun Sungai Pinang yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Tanah Daerah Klang tahu mengenai perkara ini,” dakwa Abdul Shukor.

Tiada ulasan: