IPOH: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyifatkan kenyataan bahawa pembantu rumah dari Indonesia hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji bulanan minimum RM700 sebagai tidak mengikut persefahaman yang dicapai antara Malaysia dengan negara jirannya.
Sehubungan itu, katanya wakil kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat di Jakarta untuk menyelesaikan perkara berhubung isu syarat pembantu rumah yang dikenakan itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan dari Jakarta yang memetik seorang pegawai tinggi kerajaan Indonesia yang menyatakan seorang amah hanya menjalankan satu tugas,
Katanya kementerian berkenaan telah meminta pihak di Indonesia memberi latihan secara lebih luas dalam semua bidang supaya pembantu rumah yang dihantar ke negara ini boleh bekerja dengan baik.
"Kita setuju latihan dijalankan dan dalam pada itu ada bidang pengkhususan untuk mereka yang mahukan kerja khusus. Yang (mahu) am, mereka boleh dapatkan pembantu am. Kita akan jelaskan apa yang diputuskan dalam jawatankuasa bersama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen kewarganegaraan Malaysia kepada 212 penerima di bawah program MyDaftar kebangsaan di sini, semalam.
Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun, 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.
Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.
Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan