Sabtu, 17 Mac 2012

Isu Pasir: KSSB Akan Saman The Star




SHAH ALAM : Tidak wujud pertikaian antara Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB) berhubung operasi perlombongan pasir seluas 50 ekar di Dengkil, tegas Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Wan Halim Wan Ismail.

Sebelum ini laporan The Star bertarikh 15 Mac di muka depan dan empat bertajuk “KSSB’s shortcomings the reason for rampant illegal mining” mendakwa wujudnya penyelewengan dan kecurian dalam pengendalian perlombongan pasir di Selangor.

Wan Halim berkata KSSB kini sedang berunding dengan pihak peguam untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang berhubung penyiaran artikel tersebut.

“KHSB bersetuju untuk KSSB untuk melombong kawasan pasir sebelum operasi bermula dengan terma yang dirundingkan bersama.

“KSSB telah membayar dengan sewajarnya KHSB berjumlah RM630,968 pada bulan Februari 2011, dan KHSB tidak pernah membangkitkan perkara tersebut sejak itu,” kata Wan Halim dalam satu kenyataan.

Beliau juga menafikan bahawa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah terlibat dalam rundingan atau perkiraan kewangan antara kedua-dua syarikat.

Wan Halim juga menjelaskan bahawa KSSB tidak terlibat dalam penguatkuasaan terhadap perlombongan pasir haram kerana syarikat tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian, tetapi ia telah membantu dengan melaporkan aktiviti-aktiviti tersebut kepada pegawai-pegawai tanah masing-masing.

Tiada ulasan: