Sabtu, 3 Mac 2012

Hasan Timbang Saman Mahfuz Omar

Post Pic

ANTARA POS.COM


PETALING JAYA : Datuk Dr Hasan Ali sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar kerana mendakwa beliau dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk menganjurkan siri ceramah bagi menarik undi untuk Barisan Nasional (BN).

"Tuduhan ini berniat jahat, berunsur fitnah dan satu percubaan untuk memburukkan imej saya di mata rakyat serta mencemar kredibiliti saya sebagai ahli politik dan peneraju badan NGO, Jati," kata Bekas Pesuruhjaya Pas itu pada sidang akhbar di rumahnya sebentar tadi.

"Saya telah pun menyerahkan perkara ini kepada barisan peguam saya untuk mengambil tindakan munasabah," kata beliau dan menambah bahawa kenyataan rasmi mengenainya akan dibuat kemudian.

Semalam, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa sebuah unit perang saraf dalam KBS menyediakan peruntukan RM30 juta untuk membiayai ceramah Hasan yang bertujuan menarik sokongan generasi muda untuk BN.

Dakwaan itu dinafikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Shabery Cheek yang menganggap Mahfuz hilang akal sehingga membuat tuduhan sebegitu.

Hasan hari ini senada dengan Shabery bahawa Mahfuz dijadikan kuda tunggangan oleh Pas untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kemelut kepimpinan parti itu di Kedah.

Kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak di pulau oleh dua anggota EXCO kanan parti itu dan memaksa pimpinan pusat parti mengatur mesyuarat tergempar malam ini di Alor Star dalam usaha mengatasi kemelut berkenaan.

"Tujuan Mahfuz (buat tuduhan) kerana khuatir dengan program jelajah saya yang berjaya mengumpulkan kehadiran ribuan penonton (dan) berkaitan pergolakan yang berlaku di Kedah. Mahfuz merupakan kuda tunggangan Pas untuk mengalihkan isu yang melanda Pas Kedah."

Setelah dipecat oleh Pas pada Januari lalu, Hasan kini memimpin pergerakan bukan kerajaan bernama Jalur Tiga (JATI) untuk mempertahankan akidah umat Islam, mempertahankan institusi Raja dan hak orang Melayu.

Hasan menyifatkan Mahfuz sebagai "parasit" dalam parti. Beliau turut menyelar Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang sebelum ini menuduh beliau menerima wang daripada Syabas atau Puncak Niaga.

"Aktiviti saya tiada kaitan dengan pihak yang didakwa oleh Khalid Samad. Jika mereka ada bukti, sila kemukakan. Ini adalah badan-badan bukan kerajaan jadi apa masalah dia? Dari segi undang-undang, sekarang ini kita tak lakukan apa-apa (kesalahan). Ada orang mahu menyumbang kerana mahu memartabatkan Islam," jelas beliau.

Hasan menjelaskan siri ceramahnya di seluruh negara dibiayai menerusi sumbangan orang awam dan dari "poket saya sendiri."

Pada sidang media itu, beliau juga membidas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Dr Zulkefly Ahmad kerana mencadangkan parti itu terbuka kepada saranan melantik calon bukan Islam sebagai Timbalan Presiden parti.

"Dr Dzulkefly begitu mendabik dada dengan mengatakan Pas bersedia sedangkan dia hanya ahli biasa. Saya pun kalau dalam Pas tidak mampu untuk buat kenyataan sedemikian," tambah beliau.

Tiada ulasan: