Jumaat, 2 Mac 2012

Hapus tol: Bukti Buku Jingga bukan retorik

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan kerajaan menghapuskan bayaran tol RM1 di Plaza Tol Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala Kajang menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya mampu untuk menghapuskan tol di negara ini jika berbuat demikian.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan kerajaan itu membuktikan bahawa kerajaan tidak rugi sekiranya tol-tol di negara ini dihapuskan sebagaimana dakwaan pemimpin mereka sebelum ini.

Ini juga, katanya membuktikan bahawa perjuangan Pakatan Rakyat selama ini yang berusaha menghapuskan tol di negara ini sebenarnya adalah benar dan tidak sia-sia.

“Janji di dalam Buku Jingga bukanlah suatu retorik atau janji palsu, tetapi merupakan realiti yang mampu dilakukan sekiranya kerajaan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun demikian, ujarnya DPPM merasa kesal kerana kerajaan tidak bersedia menghapuskan bayaran tol secara keseluruhan di kawasan terbabit.

Menurutnya, pengurangan sebanyak 50 peratus dianggap sebagai suatu kejayaan besar kepada negara dengan publisiti meluas seolah-olah mereka telah mendapat kemenangan yang dramatik.

Hakikatnya, kata beliau pencapaian kerajaan tidaklah boleh dibanggakan sangat memandangkan mereka hanya mampu mengurangkan bayaran sebanyak 50 peratus.

Itupun, ujarnya keputusan itu diambil setelah bertahun-tahun lamanya pengguna lebuh raya di kawasan terbabit menanggung bebanan membayar tol.

“Sedangkan Pakatan Rakyat (PR) telah berjanji sekiranya PR memenangi Putrajaya dalam PRU ke 13 nanti, keseluruhan kadar tol di kawasan terbabit malah di seluruh negara akan dihapuskan,” katanya lagi.

Malah, jelasnya PR telah mengkaji implikasi terhadap syarikat konsesi tol dan merasa yakin, tol secara keseluruhannya mampu untuk dihapuskan.

“DPPM melihat sendiri bagaimana sorakan ahli dan pemimpin Umno apabila tol di kawasan tersebut diumumkan dihapuskan semalam.

“Ia bererti ahli dan pemimpin Umno sendiri bersetuju bahawa tol adalah suatu bebanan kepada rakyat dan bergembira apabila tol dihapuskan atau dikurangkan,” katanya.

Jika demikian, ujar beliau sudah tentu mereka akan merasa lebih puas jika Pakatan Rakyat pula yang telah berjanji sekarang akan menghapuskannya apabila mendapat mandat kerajaan kelak.

Oleh itu, katanya DPPM mencabar kerajaan supaya mengkaji balik semua perjanjian dengan syarikat konsesi tol dan mengumumkan kepada rakyat bila untuk dihapuskan tol di kesemua lebuh raya secara berperingkat.

Jika tidak, tambah beliau mereka dianggap masih gagal menambat hati rakyat serta tidak mampu menandingi kemampuan Pakatan Rakyat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Tiada ulasan: