Sabtu, 17 Mac 2012

Guna Saluran Betul Kritik Umno, Kata Abdullah

MALAYSIA CHRONICLE


KEPALA BATAS -- Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan veteran Umno menggunakan saluran betul mengkritik parti daripada membuatnya secara terbuka demi menjaga imej parti itu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata tindakan segelintir veteran parti mengkritik Umno secara terbuka perlu segera dihentikan kerana ia akan menimbulkan perbalahan antara anggota parti.

"Tidak salah jika veteran Umno mahu memberi pendapat terhadap pimpinan tertinggi atau parti namun ia haruslah dibuat dengan niat mahu memberi kebaikan dan bukannya merosakkan imej parti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir vateran Umno yang dilihat lantang mengkritik parti secara terbuka.

Katanya, sikap buruk seperti perang mulut dan saling menunding jari antara satu sama lain dalam Umno perlu dielakkan kerana boleh menyusah dan menimbulkan perbalahan sesama anggota seterusnya memberi gambaran buruk kepada rakyat.

"Kalau ada pandangan beritahu kepada pemimpin Umno dalam majlis-majlis parti atau bawa kepada jawatankuasa parti sama ada di peringkat bahagian atau cawangan atau tulis surat kepada majlis tertinggi.

"Jangan menghina dan mengkritik parti kita (Umno) kerana kita mahu Umno menang dalam pilihan raya akan datang. Kalau ahli sendiri memburukkan parti ia boleh merosakkan imej Umno," katanya.

Abdullah berkata pimpinan Umno boleh bertemu dan berbincang dengan golongan veteran parti bagi mendengar sendiri masalah dan pandangan golongan tersebut terhadap parti.

"Tidak salah kalau pemimpin Umno juga turun padang dan mendengar sendiri pendapat golongan veteran ini kerana kadangkala pandangan mereka boleh digunakan oleh parti," katanya.

Ketika mengulas konsep negara kebajikan sebagaimana diamalkan di negara maju yang memberi bantuan sepenuhnya kepada golongan tidak berkemampuan dan kurang upaya, Abdullah berkata Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri dalam merencana pembangunan dan kebajikan rakyatnya.

Katanya, konsep kebajikan produktif yang dibuat kerajaan ketika ini dengan memberi bantuan kepada rakyat sebagai galakan untuk mereka menambah nilai dan pendapatan hasil bantuan yang diberikan kerajaan, dilihat lebih membantu rakyat berdikari memajukan diri.

"Saya yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pendekatan tersendiri menghadapi masalah berkaitan kebajikan. Kerajaan kita sentiasa berusaha menambah program yang dirancangkan," katanya.

Terdahulu, Abdullah yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (Mayang) SPU, dalam ucapannya berkata kerajaan memperuntukkan RM12 juta menyalurkan kepada 4,768 penerima bantuan JKM di daerah itu tahun ini. BERNAMA

Tiada ulasan: