Sabtu, 3 Mac 2012

Gani Tidak Harus Berdiam

Post Pic

ANTARA POS.COM


KOMENTAR : Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail adalah peguam tertinggi dalam perkhidmatan awam dan memegang kuasa mutlak menentukan sama ada seseorang dihadapkan ke mahkamah atau dibebaskan.

Jelas beliau, bukannya polis yang menentukan siapa harus dibicarakan dan siapa patut dilepaskan.

Amanah dan beban yang dipikul oleh Gani amat berat. Keputusan-keputusan beliau sentiasa diteropong oleh pelbagai pihak, tidak kira polis, parti pembangkang atau pemimpin politik lain.

Selain badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara menjadi penentu dan pengukur tahap kewibawaan sistem keadilan di negara ini.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Gani menjadi sasaran pembangkang yang sering menuduhnya berat sebelah dan berniat jahat.

Tuduhan itu boleh diketepikan atas alasan pembangkang sendiri mencari modal politik dan keputusan Gani sering sesuai untuk memenuhi agenda pembangkang.

Namun apabila tuduhan seperti mala fide, berniat jahat, pemalsuan bukti dibuat oleh seorang pegawai kanan polis yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang, Gani dan kerajaan sendiri tidak boleh berdiam diri.

Gani seharusnya bertindak mempertahankan diri menerusi proses undang-undang daripada tuduhan-tuduhan serius yang dilemparkan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf.

Beliau mendakwa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memfitnah beliau dan pegawai-pegawainya dan mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat tuduhan palsu terhadap mereka.

Ramli memilih majlis sambutan hari jadinya awal minggu ini untuk membuat tuduhan itu.

Lebih menarik lagi ialah beliau membuat pengakuan itu di hadapan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Ketua Pengarah Kementerian Dalam Negeri Aseh Che Mat dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Chong Kah Kiat.

Khalid dan hadirin yang lain pada majlis itu mengenali Ramli secara dekat, dan walaupun Ramli dicantas dan diaibkan dengan beberapa perbicaraan yang menurut beliau didalangi oleh Gani, mereka tetap menghadiri majlis itu.

Apapun tuduhan yang dibuat oleh Ramli cukup serius. Antara lain tuduhan itu berkisar kepada siasatan terhadap seorang penjenayah dan hubung-kait penjenayah itu dengan pimpinan tertinggi PDRM ketika itu dan Gani sendiri.

“Pendedahan” yang dibuat oleh Ramli bukanlah baru dalam erti kata sebenar. Beberapa kenyataan bersumpah mengenai siasatan itu oleh pegawai-pegawai beliau sudah pun wujud dalam Internet sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun “keberanian” Ramli tampil pada majlis hari jadinya untuk menuduh Gani sebagai melakukan jenayah sudah tentu mencemar Pejabat Peguam Negara, jika tidak ada tindak balas daripada Gani.

Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah. Mungkin itu pegangan yang diambil oleh Ramli. Mungkin itu juga yang harus menjadi pertimbangan utama Gani yang diamanah mempertahankan kewibawaan Pejabat Peguam Negara.

Tiada ulasan: