Selasa, 27 Mac 2012

Felda rugi RM27 juta pelaburan di Amerika

Pinjaman yang diberikan kepada anak syarikat gagal dibayar semula mengikut terma yang dipersetujui.



KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures North America Sdn Bhd (FGVNA) yang melabur lebih RM1 bilion di Amerika dan Kanada sejak Oktober 2007 mencatatkan kerugian RM27.6 juta.

Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr Rosli Yaakop berkata berdasarkan laporan audit Price Waterhouse Coopers (PWC) , sebelum itu FGVNA mencatatkan keuntungan RM44.8 juta pada tahun berakhir 31 Disember 2009.

Katanya, kerugian itu diukur berdasarkan prestasi anak-anak syarikat kurang memuaskan malah pinjaman yang diberikan kepada anak syarikat gagal dibayar semula mengikut terma yang dipersetujui.

FGVNA yang diuruskan oleh Pengarah Syarikat Datuk Dr Dzulkifli Abdul Wahab dan Datuk Sabri Ahmad (dilantik pada 15 Julai 2010 menggantikan Datuk Mohd Bakkee Salleh), dakwa Rosli tidak mengisytiharkan dividen dalam tahun 2009 dan tahun 2010.

Setakat 31 Disember 2010, FGVNA didakwa menyuntik dana berjumlah RM1.26 bilion ke dalam anak syarikat miliknya di Amerika Utara, Twin Rivers Technologies Holdings Inc (TRTH) bagi tujuan pelaburan dan pinjaman kepada anak syarikatnya.

TRTH, syarikat pelaburan Amerika dimiliki FGVNA selepas membeli 80,000 unit saham dengan harga RM1,567.50 sesaham menjadikannya 97 peratus pemegang saham.

Belum bayar hutang

Namun anak-anak syarikat itu masih lagi belum membayar hutang tertunggak melebihi setahun berjumlah RM48 juta.

Sehubungan itu, Rosli mempersoalkan tindakan Felda memilih untuk membeli 97 peratus sahan TRTH walhal syarikat tersebut baru berjinak dalam bidang oleochemicals (ditubuhkan pada tahun 1994) dan bukannya pemimpin pasaran dalam bidang tersebut.

“Berapa ramai wakil Felda dalam lembaga pengarah TRTH dan tenaga kerja warga Malaysia yang memegang jawatan penting dalam syarikat itu, atau diserahkan sepenuhnya kepada pekerja asing,” soalnya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut bimbang jika kerugian ini akibat risiko pertukaran wang asing yang terpaksa ditanggung FGVNA, selain mempersoalkan keuntungan yang diperoleh peneroka selepas Felda berbelanja besar melabur di luar negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub berkata fenomena ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan defisit kewangan Felda yang berkurang daripada RM4.5 bilion pada tahun 2005 kepada RM1.2 bilion sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pentadbiran.

Tiada ulasan: