Jumaat, 23 Mac 2012

Exco Wanita Umno kesal Kamilia desak Shahrizat undur

Wartawan Sinar Harian

Shahrizat Abdul Jalil

SHAH ALAM - Exco Wanita Umno menyifatkan kenyataan dikeluarkan Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim agar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur dari jawatan itu sebagai pandangan peribadi.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan semalam, Exco Wanita Umno dan ketua-ketua Wanita Umno Negeri berkata, pihaknya kesal dengan pandangan dikeluarkan oleh Kamilia, semalam.

"Kami, Exco Wanita Umno dan Ketua Wanita Umno Negeri merakamkan kekesalan di atas kenyataan akhbar yang telah dikeluarkan oleh Datuk Kamilia yang mendesak Datuk Seri Shahrizat untuk melepaskan jawatan Ketua Wanita Umno," kata kenyataan itu.

"Kami selaku Exco dan Ketua Umno Wanita Negeri-Negeri ingin menegaskan bahawa kami akan sentiasa memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Datuk Seri Shahrizat selaku Ketua Wanita Umno," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata, gesaan dibuat Kamilia merupakan agenda dan kenyataan peribadi beliau yang langsung tidak memberi gambaran sebenar apa yang berlaku dalam Wanita Umno tentang isu tersebut sama ada di peringkat Exco, Negeri, Bahagian mahupun akar umbi.

"Malah sokongan kepada Datuk Seri Shahrizat amat padu dan memberangsangkan seperti yang ditunjukkan ketika siri jelajah beliau ke negeri-negeri sebelum ini dan yang terakhir semasa Pelancaran Jelajah Sayang 1Malaysia di Stadium Perbadanan Pasir Gudang, Johor," kata
kenyataan itu lagi.

Semalam, Setiausah Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kenyataan Kamilia itu sesuatu yang tidak perlu dibangkitkan buat masa sekarang.

Tiada ulasan: