Selasa, 6 Mac 2012

Esok hari hukuman untuk The Star

Harakahdaily,



KUALA LUMPUR:
Besok adalah hari hukuman untuk akhbar milik MCA, The Star namun ia bukan lagi di tangan pegawai kerajaan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi Kabinet.

Ahli-ahli politik akan membuat keputusan ini setelah pegawai di KDN tidak diyakini untuk membuat keputusan yang terbaik menjelang pilihan raya umum ke 13 ini.

Menurut sumber Harakahdaily, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein sendiri akan membentangkan kes ini kepada Kabinet dalam mesyuarat mingguan mereka esok.

"Draf cadangan telah disediakan, terserahlah kepada Kabinet untuk membuat keputusan ke atas The Star," kata sumber itu.

Menurut sumber itu, jika keputusan dibuat oleh KDN sendiri, The Star akan menerima hukuman yang berat kerana mereka sangat tidak berpuashati dengan bentuk permohonan maaf yang dibuat The Star Online pada 27 Februari lalu.

The Star menyiarkan permohonan maaf ekoran penyiaran gambar besar Erykah Badu yang bertatu nama Allah pada dadanya yang telanjang.

Permohonan maaf itu dibuat kira-kira satu jam selepas Harakahdaily menyiarkan berita bertajuk "Kenapa akhbar The Star siarkan gambar ini" pada 27 Februari lalu.

Namun ianya terlalu kecil dan disifatkan oleh Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya sebagai 'ciput' sahaja berbanding dengan gambar besar Erykah yang disiarkan.

"Ketika NST salah menyiarkan kartun menghina Nabi Muhamad, akhbar itu telah membuat permohonan maaf di muka depan akhbarnya tetapi permohonan maaf The Star terlalu kecil dan bagi KDN ia tidak ikhlas dan sepadan dengan kemudharatan yang dibuat," kata sumber itu.

Editor kanan The Star sudah dua kali mengadap pegawai di KDN ekoran isu ini.

Pertama selepas sebaik sahaja tersiarnya gambar Erykah Badu dalam akhbar itu manakala yang kedua ketika mereka menyerahkan surat jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan KDN kepada mereka.

Dalam pertemuan kedua, The Star mengaku bersalah atas penyiaran itu di samping menjelaskan kepada KDN apa tindakan yang mereka telah ambil untuk mengelakkan perkara seumpama ini berulang.

Namun begitu, The Star menjangka hukuman tidak boleh dielakkan lagi kerana ia adalah surat tunjuk sebab ketiga yang diterima The Star ekoran kesalahan yang hampir sama iaitu menimbulkan rasa marah umat Islam atau penghinaan kepada Islam.

Kejadian pertama adalah tulisan Editor kanan The Star mengenai hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah syariah Pahang terhadap Kartika ekoran kesalahan minum arak, kedua daging babi panggang untuk berbuka puasa Ramadhan lalu dan gambar Erykah bertatu nama Allah yang ketiga.

Pimpinan akhbar The Star sendiri menjangka mereka tidak akan terlepas kali ini selepas membuat tiga kali kesalahan yang hampir sama.

Namun ramai menjangka, apa pun hukuman yang diputuskan esok, pertimbangan politik yang paling diutamakan kerana ia berlaku menjelang pilihan raya umum.

"Umno dan MCA akan saling menjaga kepentingan masing-masing apabila mereka bertemu dalam mesyuarat Kabinet esok," kata sumber itu lagi.

Tiada ulasan: