Khamis, 1 Mac 2012

Durian runtuh: Anak lapor polis seluruh negara

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan membuat laporan polis di seluruh negara pada 3 Mac ini berhubung 'surat pekeliling durian runtuh' yang diedarkan Felda kepada peneroka bermula minggu lalu.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, surat pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, geran ladang dan rumah, status senarai hitam bank dan pewaris bagi mendapat 'durian runtuh' berupa wang tunai setelah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Ekoran itu, beliau menerima banyak aduan dariapda peneroka yang bimbang semua dokumen itu dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Lebih menimbulkan keraguan ujar Mazlan, perkara itu tidak diketahui Lembaga Pengarah Felda.

"Kita akan sediakan format laporan polis bermula 3 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Pahang dan di seluruh negara serentak," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, semalam.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu juga berkata, semua laporan polis tersebut akan dikumpul dan diserahkan bersama memorandum bantahan penyenaraian FGVH kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 12 Mac ini.

"Kita minta Perdana Menteri tolong hentikan sebarang cadangan penyenaraian FGVH ke Bursa malaysia.

"Sejak cadangan ini ditimbulkan, keharmonian dalam Felda mula hilang.

"Saya terima maklumat, setiap kali perhimpunan bulanan Felda, Tan Sri Isa akan memberi amaran kepada kakitangan agar tidak memberikan sebarang maklumat kepada pihak luar berkaitan usaha penyenaraian FGVH," katanya.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, ada peneroka dijanjikan 'durian runtuh sejumlah RM10, 000, RM20,000 dan RM30, 000.

Mazlan juga berpendapat, ini mungkin juga satu helah di mana akhirnya pihak tertentu akan menggunakan semua dokumen tersebut untuk mereka akhirnya menjustifikasikan peneroka Felda secara majoriti setuju dan menyokong penyenaraian FGVH.

"Seperti yang saya tegaskan, janji durian runtuh satu pembohongan sebab mesyuarat agung dibatalkan, jadi KPF tiada kaitan dengan penyenaraian," katanya.

Tiada ulasan: