Jumaat, 23 Mac 2012

Daftar pengundi dua kali bukti SPR langgar prosedur

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR-Jawapan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung kontroversi pengundi bernama Zarina Abu Tausi yang didaftar dua kali membuktikan suruhanjaya itu tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

Merujuk jawapan seorang pegawai SPR kononnya nama itu pengundi biasa yang memohon untuk menjadi pengundi tidak hadir (PTH), beliau berkata, pegawai itu sepatutnya tahu prosedur penukaran pengundi untuk menjadi PTH.

“SPR perlu memaparkan nama pengundi telah dipadam dalam senarai pengundi biasa, dan pada masa sama memaparkan (status) PTH pada permohonan yang kedua,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kes Zarina dan beribu-ribu pengundi lain, Fuziah berkata, mereka dipadam dalam senarai pengundi biasa tetapi dalam masa sama memaparkannya sebagai pengundi baru.

Semalam Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan taktik terbaru SPR melakukan pendaftaran satu nama dua alamat iaitu dengan menambah simbol palang (/) pada hujung nombor kad pegenalan.

Nama Zarina sebelum ini didakwa berada dalam daftar induk sebagai pengundi biasa tetapi telah memohon untuk menjadi pengundi tidak hadir pada 20 Disember 2011 kerana suaminya berkhidmat dalam tentera.

Mengulas perkara itu Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, beliau tidak menolak nama-nama yang tidak dipadamkan, boleh mengundi dua kali walaupun daftar sebagai PTH.

“Prosedur yang digunakan SPR ini terbuka kepada penyalahgunaan dan kemungkinan ia dimanipulasikan adalah tinggi,” katanya.

Tiada ulasan: