Rabu, 21 Mac 2012

Campurtangan Najib dalam kes Felda bukti mahkamah tidak bebas

Oleh: Aedi Asri



KUALA LUMPUR: Pendedahan KEADILAN berkenaan butiran mesyuarat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang campur tangan dalam kes Felda membuktikan bahawa sistem kehakiman negara sememangnya tidak bebas.

Pengarah Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, dokumen itu secara terang menunjukkan sistem kehakiman negara tidak bebas dan berada di bawah telunjuk kerajaan Umno BN.

“Selain dari demonstrasi dan mengumpul tandatangan, tidak dapat tidak kita harus membawa isu ini ke mahkamah untuk mencari keadilan.

“Dokumen mesyuarat itu menunjukkan usaha kita selama ini untuk membela nasib peneroka melalui perundangan seolah-olah tiada nilai,” ujar Suhaimi dengan nada kecewa.

Beliau merujuk kepada pendedahan yang dibuat Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution pada 19 Mac lalu yang menunjukkan dokumen rasmi mesyuarat Najib dengan pengurusan tertinggi Felda berkenaan isu Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (OER).

Butiran minit 7.9 dokumen tersebut menyatakan ‘Pastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER. Pastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya.

Selain dari kes saman penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia, Felda juga berhadapan banyak kes saman berhubung isu OER, termasuk dari 766 peneroka Felda Serting dan 400 peneroka Felda Chini.

“Apa lagi yang boleh dikatakan kepada sistem kehakiman. Kita tidak kisah sekiranya keputusan tidak memihak kepada kita, asalkan ia dibuat secara adil dan berlandaskan fakta.

“Di peringkat awal, melalui beberapa kes yang akan dibicarakan nanti, kita akan tengok sejauh mana pandangan dan arahan Najib diikuti mahkamah,” kata Suhaimi.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan, kebanyakan peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Gua Musang mendapat pendapatan bulanan sebanyak RM400.

“Lebih malang, Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) membuang sekumpulan peneroka di sana hanya kerana mereka menyokong pembangkang,” kata Ketua Cabang PKR Kuala Krau itu lagi.

Tiada ulasan: