Rabu, 7 Mac 2012

Baling helmet: Lebih 100 serbu balai polis



KL TODAY


Polis telah menasihati orang awam supaya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri berikutan satu insiden yang menyaksikan lebih 100 orang kampung menyerbu ke Balai Polis Teluk Bahang kerana memprotes tindakan seorang pegawai polis yang menyebabkan anak mereka terjatuh dari motosikal selepas dikatakan merempit.Ketua Polis Pulau Pinang, Timbalan Komisioner Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang termasuklah ke atas mereka yang membuat kecoh atau pegawai polis yang tidak mengikut peraturan standard ketika bertugas.Gambar sekadar hiasan.

“Kami masih menyiasat kedua-dua insiden itu. Yang pertama dakwaan yang mengatakan pegawai polis yang dihantar bertugas menyiasat kejadian merempit telah membaling helmet ke arah para penunggang motosikal berkenaan sehingga jatuh.

“Yang keduanya kami juga sedang menyiasat kejadian merusuh ke balai polis Teluk Bahang sehingga membawa kepada kerosakan dan huru-hara,” ujarnya.

Kata Ayub lagi, tidak ada siapa pun yang berada di atas undang-undang termasuklah pegawai polis.

Kini, pegawai polis yang didakwa menyebabkan kejatuhan mereka yang merempit itu telah ditukar ke bahagian lain sementara menanti siasatan selesai. Kejadian pegawai polis membaling helmet ke arah mat rempit itu dikatakan berlaku pada jam 8 malam Ahad lalu selepas dia bersama seorang pegawai lagi telah diarahkan ke Jalan Teluk Bahang untuk menyiasat laporan berlakunya aktiviti merempit di situ.

Penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan kemudiannya cuba melarikan diri sebaik sahaja melihat kedatangan pegawai polis.

Ketika itulah mereka mendakwa salah seorang pegawai polis berkenaan melemparkan helmet ke arah sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.

Mereka kemudiannya disaman kerana didapati memandu tanpa lesen.

Kumpulan remaja yang merempit ini kemudiannya telah kembali ke rumah dan menceritakan insiden berkenaan kepada keluarga mereka.

Tidak lama selepas itu, lebih 100 orang kampung yang tidak berpuas hati telah menyerbu ke balai polis berkenaan untuk memprotes dan menuntut penjelasan.

Setelah tidak berpuashati mereka kemudiannya dikatakan merosakkan beberapa buah tingkap di balai polis itu dan juga merosakkan beberapa buah motosikal yang terdapat di dalam kompaun balai berkenaan.

Mereka hanya bersurai selepas Timbalan Ketua Polis Negeri, Penolong Komisioner Kanan Datuk Abdul Rahim Jaafar serta beberapa pemimpin masyarakat campur tangan.

Tiada ulasan: