Jumaat, 9 Mac 2012

Analisis: Penyelarasan harga akan menjejaskan ekonomi untuk jangka panjang



Skim subsidi pengangkutan barang terbaru ini diumumkan oleh Ismail (kiri) Isnin lalu. — Gambar fail


KUALA LUMPUR — Para analisis melihat cubaan Putrajaya untuk menyelaraskan harga di kawasan pedalaman dan luar bandar melalui bantuan kewangan berjumlah RM200 juta akan menjejaskan ekonomi dan mewujudkan pergantungan sepenuhnya kepada subsidi untuk jangka panjang.

Pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Isnin lalu bahawa sejumlah peruntukan akan dibekalkan untuk kos pengangkutan bagi menurunkan harga barangan keperluan di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak, yang juga dilihat sebagai zon pengundi “deposit tetap” bagi Barisan Nasional (BN).

Datuk Dr Mohd Ariff, daripada Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, bantuan kewangan bagi pengangkutan tersebut akan menyebabkan pembayar cukai menanggung subsidi untuk pengguna di luar bandar.

“Perkara itu sangat jelas terdapatnya penglibatan subsidi terhadap tindakan penyelarasan berkenaan. Peruntukan RM200 juta oleh kerajaan itu sudah menjelaskan segalanya,” kata Ariff kepada The Malaysian Insider.

“Ia bagaikan pengguna di bandar memberikan subsidi kepada pengguna di kawasan pedalaman. Perkara ini akan menjejaskan ekonomi.”

Wan Saiful Wan Jan, pengarah eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), berkata, bantuan sedemikian akan menyebabkan ketagihan penduduk di kawasan pedalaman dan terpencil terhadap bantuan dan subsidi kerajaan.

Ujarnya, tindakan itu sama seperti langkah kerajaan memberikan subsidi kepada petrol dan menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada harga petrol yang murah. Putrajaya telah menetapkan harga petrol RON95 dan diesel dengan membelanjakan RM15.9 bilion untuk subsidi bahan api tahun lalu. Peruntukan sejumlah RM17 bilion pula ditetapkan pada tahun 2012.

“Sekarang mungkin ianya akan lebih popular, tapi ia akan menjadi masalah jangka panjang dalam masa 20 tahun kemudian,” katanya yang dihubungi The Malaysian Insider.

Wan Saiful turut menjelaskan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah berkata bahawa negara berkebajikan yang dibawa Pakatan Rakyat akan menjejaskan tahap daya saing, “ironisnya” pentadbiran beliau sendiri melaksanakan perkara di bawah konsep negara berkebajikan berkenaan.

“Penyelarasan harga seperti ini merupakan perkara yang negara berkebajikan akan laksanakan,” katanya. “Ini adalah polisi baru yang diperkenalkan bukannya berasaskan gambaran keseluruhan, tetapi lebih kepada populariti.”

Wan Saiful menjelaskan, kerajaan seharusnya bertindak dengan lebih inovatif dan berfikir untuk mengukuhkan pasaran bagi mencari penyelesaian bagi masalah tersebut.

“Sekiranya perbezaan harga itu sangat serius, fikirkan cara penyelesaian berasaskan pasaran dan bukannya menukarkan Malaysia kepada negara berkebajikan seperti yang dikritik mereka,” katanya.

Beliau mencadangkan agar inisiatif daripada badan bukan kerajaan akan dapat membantu masyarakat luar bandar adalah subsidi yang lebih digalakkan.

Ketua Ekonomi RAM Ratings Yeah Kim Leng berkata, memandangkan bantuan pengangkutan di kawasan pedalaman dan penyelarasan harga adalah kehendak sosial, kerajaan seharusnya memikirkan langkah yang lebih berkesan seperti pendekatan pemacuan pasaran seperti pengenalan wakil pembelian pukal bagi pedalaman di Semenanjung Malaysia.

“Beri peluang kepada rakyat untuk menguruskan diri mereka,” katanya.

Menurut Yeah, walaupun program bantuan amat diperlukan untuk membantu golongan miskin di pedalaman, kerajaan harus sedar agar ianya tidak akan menggangu kestabilan ekonomi.

Jelasnya sekiranya pengangkutan silinder gas ke kawasan terpencil lebih mahal, kerajaan mungkin boleh menggunakan alternatif lain seperti penggunaan tenaga solar.

“Mereka seharusnya mencari pilihan lain yang lebih efisyen,” katanya.

Menteri KPDNKK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu mengumumkan bahawa peruntukan sejumlah RM191juta untuk bantuan pengangkutan telah diberikan kepada Sabah dan Sarawak manakala bakinya akan disalurkan ke semenanjung.

Menurut Ismail, silider gas 14kg di Bario, Sarawak menjangkau RM148 sebelum penyelarasan harga yang kini berharga RM27, harga yang sama di kawasan bandar.

Pentadbiran Najib telah membuat penyelarasan subsidi bagi mengurangkan gangguan ekonomi dan mengurangkan bajet defisit sebagai sebagian perubahannya.

Sesetengah subsidi, seperti gula meningkat daripada RM567 juta kepada RM33 bilion akibat daripada usaha kerajaan untuk mengawal kadar inflasi.

Pemimpin BN seperti Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan tindakan kerajaan itu, dan menjelaskan tiada niat tersembunyi berhubung pemberian subsidi kecuali demi untuk kebaikan rakyat.

Tiada ulasan: