Khamis, 15 Mac 2012

1Care: Tiong Lai kelirukan Parlimen – Fuziah Salleh


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kesal sikap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berdolak dalik dalam isu Skim Penjagaan Kesihatan NAsional.

Menurut Fuziah, Tiong Lai mengelirukan Dewan apabila mengatakan 1Care masih di peringkat perbincangan dan belum diputuskan secara muktamad.

Ini kerana menurut Fuziah, beliau mempunyai bukti kertas konsep daripada Kementerian Kesihatan yang dikemukakan kepada Majlis Ekonomi pada 11 Ogos 2009.

“Sebagai Menteri Kesihatan, beliau seharusnya berbincang dengan ‘stakeholder’, kemudiaan diikuti dengan ‘concept paper’ dan ‘blueprint’. Ini kertas konsep dah siap, bila kita dedahkan mereka pula nafikan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Media sebelum ini melaporkan cadangan skim itu, yang mewajibkan rakyat memotong 10 peratus pendapatan bulanan mereka untuk satu agensi mengurus dana kesihatan negara.

Dilaporkan, pengamal perubatan dan persatuan pengguna memboikot cadangan itu sejak Disember tahun lalu, bermula dengan kempen ‘Tak Nak 1 Care’ dan menggesa kerajaan mengkajinya semula.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendesak kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital kerajaan dan bukan melaksanakan skim 1 care yang menggunakan caruman wang rakyat.

“Pada 2009 rawatan di klinik swasta dalam lingkungan 74 juta rawatan manakala rawatan di klinik kerajaan hanya 24 juta sahaja. 60 Peratus rakyat melaysia memilih pergi ke hospital swasta kerana perkhidmatan lebih baik.

“Ini sepatutnya jadi tumpuan kementerian untuk menambah baik perkhidmatan kerajaan tapi mereka terlalu ‘asyik’ dengan 1Care 1Malaysia dengan tujuan meringankan beban kementerian dan membebankan pihak yang lain,” katanya.

Tiada ulasan: