Sabtu, 10 Mac 2012

1Care: Liow mesti fahami kebimbangan rakyat

MALAYSIA KINI

PKR mengalu-alukan kenyataan terbaru Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa kerajaan masih lagi jauh daripada memuktamadkan model bagi sistem 1Care.

"Liow mesti memahami kebimbangan rakyat memandangkan kepentingan sektor kesihatan dan rekod buruk BN dalam memperkenalkan reformasi secara telus dan berwibawa," tegas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Kami berharap Liow dapat menjelaskan proses perundingan berada pada tahap mana. Kerajaan mestilah mendengar input rakyat, bukan menjadikan proses perundingan ini sebagai satu gimik semata-mata sebagaimana Model Ekonomi Baru yang diwarwarkan perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah berkata apa yang membimbangkan PKR ialah sama ada jaminan Liow ini bermakna "apabila kita melihat isu terbaru kes Lynas".

"Selepas kerajaan memberi jaminan bahawa sisa radioaktif daripada Lynas adalah selamat untuk disimpan di Gebeng, Pahang, Liow kemudian mengumumkan bahawa sisa tersebut mesti dihantar ke Australia.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, PM mengumumkan bahawa sisa tersebut akan disimpan di lokasi jauh dari penempatan (tetapi turut menarik balik tawaran menghantarnya pulang ke Australia)," tegasnya lagi.

Beliau berkata, sebagaimana dalam kenyataannya sebelum ini, PKR mengambil maklum bahawa perbelanjaan kerajaan pada kadar 2.2 peratus sebagai peratusan kepada KDNK Malaysia pada 2008 masih lagi rendah berbanding kadar cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 5 hingga 6 peratus.

"WHO juga menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan termasuk rasuah.

"Justeru, peningkatan perbelanjaan kerajaan untuk sektor kesihatan berserta sebuah sistem yang lebih telus dan cekap akan memberi kesan positif yang besar terhadap sektor kesihatan negara tanpa perlunya 1Care," tambahnya.

"Kami turut menghargai persoalan yang dibangkitkan Institute of Democratic and Economic Affairs (IDEAS) tentang cadangan Pakatan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang dibentangkan di dalam Buku Jingga," katanya sambil menambah PKR menyokong penubuhan suruhanjaya bebas bagi memastikan kesihatan, sebagai satu hak rakyat yang asas dipelihara secukupnya.

"Sebagaimana disebut di dalam kenyataan awal saya juga, falsafah kami bahawa kesihatan merupakan hak asasi bukan bermakna kami menentang sektor swasta, yang telah memainkan peranan penting di dalam menyumbang kepada kesihatan negara hari ini.

"Namun kami mahukan jurang yang wujud hari ini dikurangkan agar kemudahan kesihatan bermutu dapat dirasai semua rakyat Malaysia," tegas Wan Azizah lagi.

Tiada ulasan: