Dr Fathul Bari Mat Jahaya sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah dalam pertemuan antara mereka dan pihaknya telah menghubungi Zakir Naik berhubung perkara itu
KUALA LUMPUR: Penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik menerima tawaran untuk bertemu dengan peguam kontroversi, Siti Kassim susulan laporan polis yang dibuatnya bersama 18 individu lain terhadap Zakir Naik, namun aktivis berkenaan sebaliknya menolak pertemuan itu.
Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Dr Fathul Bari Mat Jahaya sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah dalam pertemuan antara mereka dan pihaknya telah menghubungi Zakir Naik berhubung perkara itu.
Melalui khidmat pesanan Whatsapp kepada Fathul Bari, Zakir Naik kemudiannya memberikan respon positif berhubung pertemuan tersebut.
“Jika kamu fikir ia membuahkan hasil baik dengan niat baik mereka ia bagus, dan saya tidak mempunyai halangan untuk bertemu mereka,” kata Zakir Naik, seperti petikan perbualan Whatsapp yang dimuat naik Fathul Bari di laman Facebook miliknya, sebelum ini.
Siti Kassim melalui laman sosial yang sama kemudiannya memuat naik status menolak pertemuan itu kerana menganggapnya ia perbuatan bodoh yang membuang masanya.
“Mari kita ketepikan cabaran bodoh perbahasan di antara saya dan Zakir Naik.
“Jika orang-orang bodoh ini berfikir bahawa saya mengalami obsesi tidak rasional dan tidak produktif dengan apa yang orang lain fikir mengenai saya, maka mereka boleh kekal sebagai keldai selama-lamanya. Jadi, berhenti buang masa saya,” kata Siti Kasim, memetik kenyataan di laman Facebook miliknya.
Sebelum ini, sekumpulan aktivis memfailkan tuntutan mahkamah menuntut satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah kontroversi Zakir.
Mereka juga memohon satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, sekiranya diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia.
Kumpulan berkenaan memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dengan diketuai Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.
Turut serta adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.
Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan