Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Tian Chua masih kekal sebagai Ahli Parlimen Batu dan masih layak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang meskipun mahkamah hari ini mendapati beliau bersalah kerana menghina kehormatan seorang anggota polis.
Pakar undang-undang, Datuk Prof Mahamad Naser Disa berkata status dan
kelayakan itu masih kekal memandangkan Tian sedang merayu keputusan
berkenaan, apatah lagi proses itu mungkin mengambil masa yang panjang.
"Kekal (sebagai ahli parlimen), tiada apa-apa (masalah) sebab dia masih hendak merayu," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Naser yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam
Malaysia (IKSIM) memaklumkan proses rayuan bagi sesuatu kes tidak
tertakluk kepada tempoh tertentu.
"Boleh bertanding lagi sehingga (proses) rayuan selesai. Selepas
Mahkamah Seksyen, dia akan merayu ke Mahkamah Tinggi kemudian merayu ke
Mahkamah Rayuan.
"Ada dua kali rayuan dan tiada tempoh tetap. Itu bergantung. Terserah
kepada mahkamah. Jika kawasan (mahkamah) yang dibicarakan itu sibuk,
lagi lambat ," tambahnya lagi.
Tian, menurut Naser hanya akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen
sekiranya proses rayuan dan pengampunan yang dikemukakannya gagal.
Terdahulu Mahkamah Seksyen Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman
denda sebanyak RM3,000 atas kesalahan menghina kehormatan anggota polis,
dalam kejadian yang berlaku pada April 2014.
Hakim, Yasmin Abdul Razak berkata pihak pendakwa berjaya membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.
Menerusi peruntukan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, seseorang pesalah
boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun, denda atau
kedua-duanya sekali.
Status Tian sebagai Ahli Parlimen Batu mula dipersoal kerana seseorang
wakil rakyat yang dikenakan denda melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak
kurang setahun boleh hilang kelayakan mengikut Perkara 48 Perlembagaan
Persekutuan.
Sebagaimana menurut Latheefa Koya, peguam yang mewakili Tian, pihaknya
dalam pertimbangan mengemukakan rayuan, selain mahu memohon mahkamah
membatalkan sabitan tersebut, atau mengurangkan hukuman.
Pemimpin PKR itu juga 'komited' menjalankan tanggungjawabnya sebagai
wakil rakyat dan kesalahan itu tidak menghalangnya untuk memperjuangkan
reformasi dan keadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan