KUALA
LUMPUR, – Pasukan Petugas Khas yang
menyiasat urus niaga mata wang asing yang melibatkan kerugian Bank
Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an, menyasar untuk melaporkan hasil
siasatan kepada kabinet dalam tempoh tiga bulan.
Pengerusinya,
Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia
akan merangkumi perakuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja,
sekiranya perlu, bagi meneruskan siasatan dengan lebih terperinci.
Kabinet telah melantik Mohd Sidek sebagai pengerusi pasukan berkenaan pada 22 Februari 2017.
Mohd Sidek
berkata, terma rujukan pasukan itu adalah menjalankan siasatan awal
berkaitan kerugian BNM di dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata
wang asing.
Selain
itu, sejauh mana terdapat tindakan tersembunyi maklumat kerugian dan
mengkaji kalau ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenai
kepada Parlimen
Pasukan
itu juga, katanya, akan mengemukakan syor kepada kerajaan mengenai
tindakan susulan, termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, jika
perlu, berdasarkan hasil siasatan tersebut.
Pasukan
petugas itu akan terdiri daripada enam ahli lain, iaitu Timbalan Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Azam Baki,
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Acryl Sani
Abdullah Sani dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri
Ranjit Ajit Singh.
Mereka
yang lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Amanah Persaraan
(Diperbadankan), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, Pengerusi Bersama
Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon (yang
juga bekas Pengarah Urusan Shell Malaysia dan bekas Presiden
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia) dan Rakan Kongsi Guaman,
Jahaberdeen & Co, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Setiausaha
dan Ketua Sekretariat Pasukan Petugas Khas ini ialah Setiausaha
Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof
Ismail.
Mohd Sidek
berkata, pasukan petugas itu akan meneliti semua aspek kes, termasuk
peranan dan fungsi BNM dan/atau mana-mana badan korporat atau individu
dalam urus niaga spekulasi mata wang asing, termasuk perkara berkaitan
kelulusan dan pengurusan aktiviti.
Ia juga
akan mengkaji pematuhan undang-undang, peraturan dan garis panduan
berkaitan peranan dan fungsi BNM dalam urus niaga mata wang asing dan
sama ada terdapat tindakan untuk menutup skala sebenar kerugian BNM dan
individu terlibat, katanya.
Sebagai
sebahagian siasatan ini, Mohd Sidek berkata, pihaknya menggalakkan
sesiapa yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada Sekretariat
Pasukan Petugas Khas, Aras 5, Blok Tengah, Kompleks Kementerian
Kewangan, No 5, Persiaran Perdana, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan, 62592 Putrajaya atau e-mel kepada
taskforcefx@treasury.gov.my atau menghubungi 03-80008000.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan