PPM juga masih menaruh harapan kepada PAS untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang bagi memastikan pertandingan dua penjuru pada pilihan raya yang akan datang,
KUALA LUMPUR:Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat tidak yakin untuk merampas kerusi-kerusi dimenangi oleh Umno-Barisan Nasional (BN) menerusi jumlah undi majoriti, kata Penganalisis Politik.
Sehubungan itu menurutnya, parti tersebut sehingga kini masih gagal memuktamadkan isu pengagihan kerusi bersama-sama Pakatan Harapan baru-baru ini.
“Pada asasnya mereka bersetuju kawasan yang dimenangi oleh Umno dahulu akan ditandngi oleh PPBM.
“PPBM tidak pasti lagi kawasan kawasan yang Umno menang dulu boleh pergi ke mereka, sebab itu Mukhriz meminta sedikit masa untuk menilai kawasan-kawasan itu,” katanya kepada Berita Daily.
Tambahnya, PPBM terlebih dahulu sebelum membuat keputusan perlu menilai potensi menang atau kalah khususnya kawasan-kawasan yang dimenangi Umno-BN pada pilihan raya yang lalu dengan jumlah undi lebih 60 peratus.
“Pembahagian kerusi yang Umno menang adalah termasuk yang undi parti itu dapat lebih daripada 60 peratus dan yang dimenangi tipis.
“Dalam masa yang sama mereka (PPBM) mungkin tidak mahu berebut dengan PKR,”tambah beliau.
PPBM baru-baru ini gagal menghadiri rundingan kali pertama bersama-sama dengan Pakatan Harapan berhubung isu pengagihan kerusi kerana parti itu memerlukan sedikit masa lagi untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang bakal ditandingi pada pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu seorang lagi pemerhati politik berpendirian PPBM masih menaruh harapan terhadap PAS untuk bersama-sama dengan pakatan pembangkang demi mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru kelak.
Sehubungan itu jelas Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed parti itu memerlukan lebih masa sehingga PAS menerusi Presidennya Abdul Hadi Awang membuat keputusan rasmi mengenainya.
“Mereka masih mengharapkan bahawa PAS akan terlibat secara langsung dengan Pakatan Harapan, namun PAS dengan jelas mengatakan mereka tidak mahu jika Pakatan Harapan itu mengandungi DAP dan Amanah.
“Jadi sebab itu bagi saya mereka masih mengharapkan akan ada kerjasama dari PAS dan dalam masa sama jika kerjasama itu wujud maka sudah tentulah penetapan kawasan mana yang ditandingi nanti akan jadi lebih jelas,” menurutnya.
Kali terakhir PPBM mengadakan pertemuan dengan PAS adalah awal Febuari yang lalu namun sehingga kini masih tiada kata putus yang dicapai.
Sebelum ini PPBM menerusi Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad bertegas mengatakan bahawa parti itu tidak akan menunggu PAS sekiranya parti itu gagal memuktamadkan sama ada mahu menyertai pembangkang bagi menentang Umno-BN atau tidak .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan