shahbudindotcom
Sebagai
menteri kanan dan telah menganggotai kabinet sejak era Tun Mahathir
Mohamad lagi, kekecewaan Nazri Aziz tentunya dapat difahami apabila UMNO
dan kerajaan seperti mahu menjarakkan diri daripada dikaitkan dengan
debat yang disertainya pada 25 Mac depan nanti.
Kata
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, beliau pun keliru apabila UMNO
dan kerajaan mengatakan beliau tidak mewakili mereka sedangkan
pembangkang menganggapnya mewakili kerajaan.
Senang
saja, saya mewakili pengundi Padang Rengas kerana saya adalah Ahli
Parlimen Padang Rengas, kata Nazri seakan-akan memilih jalan tengah.
Debat
antara Nazri Aziz dengan Tun Mahathir, jika tidak dibatalkan pada
saat-saat akhir, akan diadakan pada 25 Mac ini, jam 3.00 petang di MRSM
Sultan Azlan Shah, Padang Rengas, Perak.
Meskipun
tajuk dan isi perdebatan ialah berkaitan isu-isu yang melingkari
Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan seperti 1MDB, dana RM2,600 juta,
hutang RM55 bilion untuk landasan keretapi Pantai Timur, skandal BMF dan
lain-lain, keberanian Nazri menyahut cabaran Tun Mahathir untuk
berdebat nampaknya langsung tidak dihargai.
Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani awal-awal lagi mengatakan penyertaan Nazri dalam debat itu tidak mewakili kerajaan.
Ketua
Penerangan UMNO, Annuar Musa juga menolak Nazri sebagai mewakili UMNO
dalam debat tersebut dengan alasan ia tidak pernah dibincangkan di
peringkat parti.
Kata Annuar lagi, penglibatan Nazri adalah atas kapasiti peribadinya.
Daripada
satu segi, meskipun tidak dianggap mewakili UMNO dan kerajaan, Nazri
adalah satu-satunya pemimpin UMNO dan menteri yang berani berdebat
dengan Tun Mahathir.
Yang
lain-lain seperti Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Azalina Othman
Said atau Tengku Adnan Tengku Mansor, walaupun mereka juga kerap
mengeluarkan kenyataan mengkritik Tun Mahathir, tetapi keberanian mereka
hanyalah sekadar berani bercakap di depan mikrofon yang dihadiri media
atau penyokong sendiri saja.
Mereka
itu sama saja seperti Najib, kalau bercakap secara sehala bukan main
lagi lagaknya, tetapi langsung tidak berani memunculkan diri dalam
program NothingToHide, meskipun ia diadakan di PWTC yang merupakan
bangunan milik UMNO sendiri.
Sebab
itu, keberanian Nazri untuk berdebat dengan Tun Mahathir
sekurang-kurangnya haruslah dihargai kerana beliau satu-satunya pemimpin
UMNO dan kerajan yang berani tampil secara berdepan dengan musuh utama
Najib semata-mata untuk mempertahankan Perdana Menteri.
Di
sebalik dilabel pengecut dan tidak berani bersemuka dengan Tun
Mahathir, Najib setidak-tidaknya dapat menebus gelaran yang memalukan
dirinya itu jika beliau dapat segera mengumumkan bahawa penyertaaan
Nazri dalam debat pada 25 Mac nanti adalah mewakili UMNO dan kerajaan.
Najib harus berbangga dengan Nazri serta memberi pengiktirafan atas keberanian menteri kabinetnya itu.
Dengan
adanya mandat mewakili UMNO dan kerajaan juga, Nazri juga tentunya
lebih bersemangat dan akan tampil dengan penuh yakin bersama
hujah-hujahnya dalam debat itu nanti.
Ayuh
Najib...segeralah tampil memberikan pengiktirafan kepada Nazri dan
jangan biarkan beliau keseorangan, lemah semangat dan hanya disokong
oleh penyokong-penyokongnya dari Padang Rengas saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan