ANTARAPOS.COM
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar pentadbiran semasa
Malaysia dalam menangani krisis dengan Korea Utara, dan berkata ia
menyebabkan ketegangan yang membimbangkan rakyat.
“Ini satu peristiwa yang tidak pernah alami Malaysia sebab itu kita
tidak begitu cekap dalam menanganinya sehingga timbul ketegangan antara
kita dengan Korea Utara.
“Saya fikir ini jadi satu pengajaran kepada kita, iktibar tangani
masalah ini pada masa depan,” kata bekas perdana menteri itu di Yayasan
Kepimpinan Perdana.
Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini di tahap paling tegang sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973.
Ia susulan kematian Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim
Jong Un, selepas diserang 2 wanita, yang dipercayai diupah Korea Utara,
dakwaan yang ditolak Pyongyang sejak awal.
Malaysia dan Korea Utara sudah pun menghantar pulang kedua-dua dutanya,
dan minggu ini kedua-dua kerajaan berkeras menghalang rakyat
masing-masing pulang ke tanah air.
Ia mengancam membawa pertelingkahan itu ke tahap baharu menyamai
tebusan, ekoran dakwaan polis yang suspek warga Korea Utara yang
terlibat dalam pembunuhan Jong Nam masih bersembunyi di dalam bangunan
kedutaan di Bukit Damansara.
Dr Mahathir berkata Malaysia tidak perlu jadikan Korea Utara sebagai musuh.
Katanya, Malaysia perlu menangani krisis itu dengan lebih bijak dan menjadikannya satu pengajaran pada masa akan datang.
“Namun demikian terdapat banyak misteri dalam kes ini, siapa yang
berniat untuk membunuh, apa dia hasil daripadanya dan macam mana boleh
berlaku.
“Kerana negara kita ini dipenuhi dengan ramai orang asing dan mereka
bawa perkara yang tidak baik kepada kita. Sebab itu sementara kita perlu
berterus terang, kita mesti tentukan fakta itu betul apabila kita buat
sesuatu kenyataan,” katanya.
Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata Malaysia perlu ikut dasar dahulu
dengan memilih berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara.
“Dasar dahulu adalah kita berkecuali dan tidak terikat diri kita dengan
mana-mana. Kita bersahabat dengan semua negara tanpa mengambil kira
dasar atau ideologi mereka.
“Sekarang ini ada perbezaan dasar sedikit, kita sudah mendekatkan diri
kita dengan satu negara lain. Ini kurangkan kebebasan kita,” katanya
tanpa menamakan siapa yang dimaksudkannya.
“Adalah lebih baik, kita pilih dasar berkecuali kerana beri banyak manfaat kepada kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan