Seorang brigadier-jeneral yang bersara mempersoalkan motif di sebalik rancangan yang dikatakan untuk menggerakkan 100,000 anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) pada bulan Julai.
Dalam surat terbuka kepada presiden PVATM, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, yang disiarkan dalam akaun Facebooknya pada 20 Februari, Datuk Mohd Arshad Raji membantah eksploitasi politik terhadap anggota veteran itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Arshad berkata beliau mendapat tahu mengenai rancangan itu dari mereka yang menghadiri sidang meja bulat pada 11 Februari, di mana rancangan mengenai perhimpunan itu dikatakan telah diumumkan.
"Nampaknya seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan sesuatu kepada kami (kemudian).
“Tetapi saya tak tahu apa yang beliau akan beritahu kami," katanya.
Mohd Arshad berkata, ada veteran tentera yang merancang untuk membantah perhimpunan tersebut.
"Kami akan adakan sidang akhbar pada 8 Mac," katanya.
Agak luar biasa
Malaysiakini telah menghantar e-mel kepada Mohd Anwar, yang juga seorang senator Umno, dan sedang menunggu respons beliau.
Dalam suratnya, Mohd Arshad melahirkan kebimbangan bahawa perhimpunan besar-besaran akan mempunyai agenda politik untuk mempengaruhi veteran untuk menyokong pentadbiran semasa.
"Saya tidak tahu apakah tujuan perhimpunan itu di adakan, tapi mendapati bahawa kehadirannya agak luar biasa ramainya. Saya mula menyoal akan diri saya, apakah tujuan perhimpunan sebesar ini di adakan?
"Lantas terfikir pada diri saya mengenai berita yang tersebar yang mengatakan kemungkinan PRU14 akan berlangsung pada hujung tahun ini.
"Saya percaya Tan Sri (Mohd Anwar) tidak membuat pengumum ini mengikut kehendak diri sendiri, tapi saya percaya pengumuman ini dibuat atas kehendak seorang yang tinggi dalam ‘hierarchy’ kepimpinan politik negara, yang mempunyai kepentingan agenda politik tersendiri.
“Saya hanya boleh beranggapan, iaitu perhimpunan tersebut adalah bagi mempengaruh minda veteran supaya menyokong regim yang ada sekarang," katanya.
Mohd Arshad juga bimbang bahawa Malaysia di mana para veteran telah mempertahankannya dengan nyawa mereka kehilangan kedaulatan, jika kerajaan hari ini kurang bijak dalam menangani tiga isu.
“Pertama, bebanan hutang negara yang kian meningkat; kedua, penjualan hartanah sebegitu luas kepada pemilik negara asing atas alasan pembangunan bersama dengan syarikat negara asing.
“Ketiga, kesediaan kita membenarkan syarikat negara asing membangunkan pelabuhan Kuantan dan Melaka atas alasan bagi memudah dan memajukan perusahaan pekapalan.
“Sekarang, nyatakan kepada saya siapakah yang akan membiayai semua projek ini bila mana kita tahu kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan,” katanya.
Siapa dalangnya?
Bekas pegawai kanan tentera itu turut mempersoalkan sama ada semua projek berkenaan didebat dengan penyeluruh dan diluluskan oleh parlimen.
Beliau juga menuntut jawapan siapa sebenarnya mencadang dan meluluskan projek tersebut dengan mengambilkira kemampuan negara melunaskan pinjaman berkenaan.
Sambil memberi amaran bahawa semua projek berkenaan mempunyai implikasi keselamatan jangka panjang pada negara, Mohd Arshad menyoal sama ada kepimpinan Angkatan Tentera dan Polis Diraja negara ini pernah dijemput dalam rundingan bersama mengenai projek itu.
“Sekiranya mereka telah di jemput dalam rundingan bersama dan telah memberi sokongan, maka saya katakan bahawa mereka kurang cerdik dan dangkal pemikiran, iaitu sama seperti pemimpin politik sedia ada dalam memahami impak keselamatan jangka panjang terhadap negara ini.
“Mengalih semula kepada cadangan mengadakan perhimpunan raksaksa yang akan membabitkan penyertaan veteran itu, maka saya tuntut tujuan perhimpunan dinyatakan dengan jelas.
“Sekiranya terdapat unsur politik, iaitu bagi menunjulkan imej mana mana pemimpin politik untuk mendokong agenda politik mereka, maka saya tuntut perhimpunan ini dibatalkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan