ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Polis tidak akan menyiasat rakaman video seorang lelaki yang mendakwa anak kepada lelaki warga Korea Utara yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata video berdurasi 40
saat itu telah diteliti oleh pihaknya selepas ia menjadi tular di laman
sosial, berita portal tempatan dan antarabangsa sejak semalam dan
membuat keputusan untuk tidak meneruskan siasatan.
"Tak perlulah siasat video itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, sebuah rakaman video dimuat naik ke laman Youtube dengan
memaparkan seorang lelaki yang menunjukkan pasport diplomatik Korea
Utara bagi membuktikan beliau adalah Kim Han-sol dan mendakwa bapanya
Kim Jong-nam dibunuh.
Bagaimanapun, muka surat yang menunjukkan maklumat pasport itu secara terperinci telah ditutup secara digital.
Kematian Kim Chol dilaporkan secara meluas di media sebagai Kim
Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.
Difahamkan, rakaman video itu dirakam beberapa hari selepas Kim Chol
dibunuh dan dimuat naik oleh kumpulan yang dikenali sebagai Pertahanan
Awam Cheollima (CCD) ke laman Youtube.
Kumpulan itu mendakwa telah menyelamatkan beberapa orang anggota
keluarga Jong-nam dan mereka berada di bawah perlindungan di satu lokasi
yang tidak dimaklumkan.
Jurucakap Perkhidmatan Risikan Nasional Korea Selatan mengesahkan
lelaki dalam video itu adalah Han-sol namun tidak mendedahkan butiran
lanjut.
Han-sol, 21, dipercayai seorang graduan Universiti Sciences Po di Paris yang hidup dalam buangan dengan ibu bapanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan