Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V melahirkan rasa
dukacita baginda ekoran kegiatan penyelewengan, ketirisan dan rasuah
masih lagi berlaku dikalangan penjawat mahupun bekas penjawat awam.
Dalam titahnya sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima sidang
Parlimen Ketiga Belas hari ini, Seri Paduka bertitah, sekalipun ia
dilakukan oleh segelintir, namun ia menghakis kepercayaan rakyat.
"Justeru, Beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai
pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran,"
titah baginda.
Terdahulu, Baginda merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kelima Parlimen Ke-13 sebentar tadi.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan
Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk
Seri S A Vigneswaran.
Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu baginda menyambut baik dan menyokong visi Transformasi
Nasional 2050 (TN50) yang disifatkannya sebagai inklusif untuk
mendapatkan idea dan inspirasi mengenai hala tuju negara.
"TN50 bersifat inklusif bagi mendapat pandangan, idea dan aspirasi
mengenai hala tuju negara melalui national discourse (wacana kebangsaan)
yang merangkumi semua segmen masyarakat seperti belia, wanita, ilmuan,
budayawan, ulama dan sebagainya.
"TN50 juga merupakan suatu visi 30 tahun ke hadapan dan menjadikan
Malaysia sebuah negara berjaya di persada dunia," titah baginda lagi.
Dalam masa yang sama baginda menyambut baik pelbagai langkah kerajaan
dalam membantu rakyat, antaranya menerusi pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M), bantuan kepada peniaga, golongan pertengahan B40 serta
bantuan perumahan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana
yang sedang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup.
"Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam menyediakan pelbagai
insentif bagi menjana pendapatan tambahan dengan meneruskan pemberian
subsidi bersasar, meningkatkan kadar dan mempelbagaikan pelaksanaan
BR1M, bantuan peniaga kecil dan bantuan pemandu teksi memiliki permit,"
ujar baginda.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 6
April, manakala Dewan Negara dari 17 April hingga 27 April selama
sembilan hari.
Persidangan kali ini kembali menggunakan bangunan Dewan Rakyat yang sudah dinaik taraf selepas menjalani ubahsuai sejak 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan