Rabu, 1 Mac 2017

PKR beri amaran, kerajaan jangan khianati petani

 Berita Daily Staff

Sebarang tindakan yang membelakangkan kepentingan petani di negara ini merupakan satu pengkhianatan yang bakal memberi kesan besar kepada rakyat

KUALA LUMPUR: PKR memberi amaran agar kerajaan tidak menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 1991 (UPOV 1991) yang dijadual diadakan di Geneva pada April nanti memandangkan kebimbangan golongan petani bahawa penglibatan kerajaan dalam konvensyen itu hanya akan memberi kesan memudaratkan kepada mereka.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata, tidak wajar untuk kerajaan Malaysia menyertai apa-apa rundingan lain termasuk untuk mewujudkan sistem harta intelektual hak pembiak baka tumbuhan yang hanya berpihak kepada pembiak baka dan penyelidik insititusi korporat dari negara maju.

“Saya berpendapat Malaysia sudah pun mempunyai Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang memperuntukkan hak kepada petani komersial bagi varieti baharu tumbuhan yang mereka hasilkan.

“Akta sama turut juga melindungi varieti benih yang diwujudkan hasil pembiakan oleh petani tradisional, masyarakat setempat atau orang asal,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Johari berkata, beliau khuatir sebarang keputusan daripada konvensyen tersebut akan mengakibatkan pindaan drastik terhadap undang-undang tempatan sehingga akhirnya memberi kesan buruk terhadap kepentingan petani kecil dan penyelidikan tempatan.

Tambahnya, beliau juga tidak mahu Malaysia menjadi bergantung lebih banyak kepada syarikat benih asing dan syarikat besar dalam bidang industri pertanian sehingga memberi kesan terhadap bekalan makanan untuk negara.

“Oleh itu, saya menuntut Menteri Pertanian, Ahmad Shabery Cheek agar tampil menjelaskan pendirian kerajaan dalam isu tersebut.

“Saya mengingatkan bahawa sebarang tindakan yang membelakangkan kepentingan petani di negara ini merupakan satu pengkhianatan yang bakal memberi kesan besar kepada rakyat terbanyak,” katanya, lagi.

Tiada ulasan: