Asri turut mempersoalkan penyertaan individu beragama Islam dalam kumpulan terbabit.
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta penjelasan kumpulan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) ancaman yang diberikan penceramah bebas antarabangsa, Dr Zakir Naik sehingga mereka mengambil tindakan mahkamah.
Asri turut mempersoalkan penyertaan individu beragama Islam dalam kumpulan terbabit.
“Tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan Muslim ataupun kafir yang tidak suka dengan dakwah.
“Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Muslim yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap,” kata Asri, memetik kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.
“Apakah bukti dia mengancam? Apakah hanya kerana ada Hindu yang menganut Islam lalu mereka ini begitu sensitif? Atau apakah alasan yang lain?”
Sekumpulan aktivis hari ini memfailkan tuntutan mahkamah menuntut satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah kontroversi Zakir.
Mereka juga memohon satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, sekiranya diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia.
Kumpulan berkenaan memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dengan diketuai Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.
Turut serta adalah 18 yang lain, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.
Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan