Rabu, 1 Mac 2017

Husam pertikai kredibiliti PAS tadbir Kelantan

Berita Daily Staff


KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PAS Husam Musa mempersoalkan kredebiliti pentadbiran parti Islam itu di Kelantan memandangkan terdapat banyak kes yang di bawa ke mahkamah.

Husam berkata, situasi itu berbeza ketika Kelantan ditadbir bekas Menteri Besar Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.

“Samada kepimpinan kerajaan Kelantan kini mampu mentadbir Kelantan dengan sempurna, boleh dinilai melalui kes-kes mahkamah yang sedang berjalan kini.

“Ia agak berbeza dari zaman ATGNA (Nik Aziz). Apa punca banyaknya kes-kes di bawa ke mahkamah, kecekapan Kerajaan negeri atau kelemahannya?” soal Husam, dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, antara kes-kes yang sedang dibicarakan adalah melibatkan kontrak Lebuhraya Rakyat apabila Dae Hang Guru mengemukakan saman terhadap anak syarikat kerajaan negeri, Dae Hanguru Infra Sdn Bhd (DHI) Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd (Baldah).

“Semalam, hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu membuat keputusan menyebelahi Dae Hang Guru dalam samannya ke atas anak syarikat kerajaan negeri, Baldah.

“Penamatan kontrak sepihak yang dibuat oleh Kerajaan Negeri melalui Baldah diputuskan oleh Mahkamah sebagai melanggar kontrak atas ikatan yang sah dan telah termetrai,” kata Husam.

Selain itu, beliau turut berkata, mahkamah memihak kepada peniaga Pasar Besar Pasir Puteh apabila membenarkan permohonan peniaga-peniaga menghalang arahan berpindah ke Pasar Baru yang tidak memuaskan hati mereka.

Beliau turut menyenaraikan beberapa lagi kes yang sedang berjalan di mahkamah melibatkan kerajaan negeri Kelantan.

Antaranya termasuklah; permohonan 348 orang Peneroka Felcra Bukit Tandak kekalkan enam ekar keluasan setiap peneroka; saman ke atas Kijang Kuari; saman balas ke atas Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK); saman ke atas dua pimpinan PAS berkait sebidang tanah di Rantau Panjang; saman oleh Ya’akob Awang ke atas Baldah dan pengurusnya; dan saman Orang Asli ke atas kerajaan negeri dan beberapa agensi.

Tiada ulasan: