ANTARA POS.COM
SHAH ALAM : Beberapa pemimpin Wanita Umno berpandangan bahawa ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil – yang dilanda kontroversi melibatkan isu National Feedlot Corporation (NFC) – masih diperlukan untuk memimpin sayap parti tersebut.
Pendapat seperti itu antara lainnya disuarakan penolong setiausaha Wanita Umno Wilayah Persekutuan, Khadijah Alang Ibrahim yang berkata, sayap Wanita akan sentiasa menyokong Shahrizat tidak kira apa perkara yang berlaku.
Menurut Khadijah yang juga merupakan ketua Wanita Umno Titiwangsa berkata, tindakan Shahrizat (bertudung putih) untuk mengundurkan diri daripada jawatan kabinet merupakan satu perkara biasa bagi seseorang pemimpin.
"Apa yang dilaluinya ialah masalah biasa. Pemimpin memang akan datang dan pergi. Lagipun, dia tidak akan letak jawatan sebagai ketua (Wanita Umno) kerana dia bukan dilantik, tetapi menang sebab dipilih.
"Dia masih jalankan kerja-kerja Wanita dan bahagian pun masih berjalan seperti biasa. Kita buat masa ini tidak ada fikirkan benda-benda ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.
Malaysiakini meminta pandangan pemimpin pergerakan ini ekoran pengumuman Shahrizat pada Isnin bahawa beliau akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat pada April.
Shahrizat mengumumkan demikian sehari sebelum suaminya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail (kiri) didakwa di makhamah berhubung berhubung projek fidlot yang diusahakan keluarga menteri berkenaan.
Projek yang diusahakan NFC itu dijalankan menggunakan pinjaman mudah RM250 juta daripada kerajaan.
Khadijah dalam pada itu berkata, Wanita Umno Wilayah Persekutuan juga tidak memikirkan mengenai pengganti bagi menerajui Wanita Umno kerana yakin dengan kemampuan Shahrizat untuk terus mengetuai sayap berkenaan walau tidak lagi menjadi menteri.
Beliau menegaskan bahawa Shahrizat merupakan pemimpin yang "bagus" dalam melaksanakan tugas di dalam parti dan pengunduran daripada jawatan kabinet sedikitpun tidak menjejaskan sayap Wanita.
"Malah Wanita bertambah kuat dan akan terus menyokong dia. Tetapi jika dia menarik diri, sebelum itu kita mesti bercakap dan berbincang dengan dia.
"Walau apa pun tindakan yang nak dilakukan, mestilah bertindak selepas pilihan raya umum nanti. Bukan sekarang. Sekarang, kita mesti bersatu," ujarnya.
Di bahagian Shahrizat sendiri, sokongan keatasnya juga dapat dikesan dengan jelas melalui pandangan seorang pemimpin akar umbinya di Bahagian Kepong.
Ketua Cawangan Kepong Sentral, Salimah Ibrahim berkata beliau merasakan tiada calon yang layak bagi menggantikan Shahrizat sebagai ketua bahagian tersebut sekiranya pemimpinnya itu mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.
Beliau juga menyifatkan Shahrizat sebagai seorang pemimpin yang rajin dan sentiasa menolong orang Melayu.
"Kami di Bahagian Kepong tak ada masalah. Buat masa ini, semuanya OK. Siapa yang akan ganti Shahrizat, saya pun belum pasti. (Walau) apa pun, insya-Allah, Shahrizat akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno bahagian Kepong," katanya.
Selain itu, sokongan ke atas Shahrizat juga dapat dilihat di Melaka, melalui seorang bekas anggota exco Wanita, Datuk Hazizah Mohd Sultan.
Ketua Wanita Umno Bahagian Bukit Katil itu berkata, pergerakan itu akan meneruskan perjuangan walaupun Shahrizat tidak lagi menjadi Senator.
Katanya lagi, Shahrizat masih perlu bertugas untuk parti dan sehingga kini masih tiada siapa yang yang boleh menyaingi Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.
Beliau berkata lagi, sehingga kini tiada siapa yang boleh menyaingi dan menggantikan Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.
"Dia ada kewibawaan sebagai pemimpin. Tak ada siapa lagi yang layak ganti beliau. Beliau letak jawatan sebagai menteri kerana terpaksa walaupun tidak terlibat. Dia berkorban demi keluarganya. Itu pengorbanan dia," katanya.
Hazizah juga berkata, sebagai Ketua Wanita, Shahrizat perlu mengekalkan jawatan yang dipilih oleh akar umbi itu.
"Perjuangan tidak akan tamat sekiranya individu itu gagal tetapi akan tamat sekiranya parti itu hancur. Saya tahu, Shahrizat sayang pada parti."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan