Selasa, 6 Mac 2012

PAS: Jawatankuasa Pemandu bukan diwujudkan untuk ambil alih peranan MB

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — PAS hari ini menegaskan Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan mereka tiada kaitan untuk mengambilalih kuasa menteri besar dan sememangnya tiada kuasa untuk campur tangan pentadbiran negeri.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung parti Islam berkenaan, Datuk Mustafa Ali, jawatankuasa itu hanyalah bertindak sebagai penasihat dalam hal ehwal pentadbiran negeri di bawah pimpinan PAS.

“Jawatankuasa ini hanyalah bersifat penasihat dalam hal-hal yang perlukan pandangan pimpinan berkaitan dengan perancangan dan program yang dibuat.

“Tiada kaitan untuk mengambil alih tugas menteri besar melalui penubuhan jawatankuasa ini,” jelas Mustafa (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Jawatankuasa pemandu ini juga bukan khusus untuk menasihati individu tertentu dalam pentadbirannya tetapi kepada semua yang memerlukan pandangan pimpinan parti.

“Dulu PAS sudah wujudkan jawatankuasa ini pada tahun 1990 apabila kita berjaya mengambil alih Kelantan, kini kita hidupkan kembali apabila ia ada keperluan untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada pimpinan kerajaan negeri.

“Oleh itu tidak seharusnya berbangkit tafsiran salah tentang fungsi jawatankuasa pemandu ini dan kita harap semua pihak memahami soal ini,” katanya.

PAS akan bermesyuarat pada 12 Mac ini untuk membuat perlantikan anggota jawatankuasa pemandu tersebut.

PAS Pusat semalam membuat keputusan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi mengelakkan kejadian di Kedah berulang di negeri pimpinan mereka.

Dalam sidang media itu juga PAS mengumumkan, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan kekal sebagai Menteri Besar Kedah, dan dua exco, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Ismail Salleh perlu kembali semula sebagai exco negeri tersebut.

Phahrolrazi merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah.

Manakala, Ismail merupakan Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, yang turut merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, telah ditugaskan untuk menyelesaikan kemelut di Kedah, dan beliau telah pergi ke negeri berkenaan pada 28 Febuari lalu bagi berjumpa dan berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat.

Difahamkan kedua-dua exco berkenaan enggan menerima lantikan itu kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

PAS pusat sebelum ini telah memutuskan untuk campur tangan dalam krisis pentadbiran kerajaan negeri Kedah dengan menghantar Salahuddin sebagai perantara bagi menyelesaikan kemelut itu.

Tiada ulasan: