Khamis, 8 Mac 2012

PAS akan lawan Zaid di Kota Baru

Umno pula berkata, peluang Zaid menang di parlimen itu sebagai `sangat mustahil.'



KOTA BARU: PAS akan meletakkan calon melawan Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim di Kota Baru dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, menjadi hak Zaid bertanding di parlimen tersebut.

“Baguslah dia nak bertanding atas tiket Kita dan PAS tidak boleh sekat hak beliau. Saya tidak tahu pengaruh Zaid di Kota Baru.

“Tetapi PAS akan letak calon lawan dia,” kata Abdul Halim.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, PAS tidak akan membenarkan Zaid bertanding atas tiket PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ketika ini tidak ada keputusan hendak membenarkan Zaid bertanding atas tiket PAS.

“Mustahil untuk menyuruh Zaid bertanding atas tiket PAS waktu ini,” katanya.

Sebelum ini tersebar desas desus, Zaid akan bertanding atas tiket PAS di parlimen Kota Baru.

Zaid hari ini mengumumkan akan bertanding di parlimen Kota Baru dalam pilihan raya umum akan datang.

Tokoh politik kontroversi itu pernah menjadi ahli parlimen kawasan berkenaan dari tahun 2004 hingga 2008 semasa menjadi ketua Umno bahagian Kota Baru.

Zaid dipecat dari Umno

Bagaimanapun, beliau tidak bertanding pada 2008 tetapi dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi atas kapasiti senator,

Beliau dipecat dari parti pada Disember tahun sama kerana mengkritik penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zaid kemudiannya menyertai PKR tetapi membuat keputusan meninggalkan parti itu ketika mencabar Azmin Ali bagai jawatan Timbalan Presiden kerana mendakwa pertandingan yang tidak adil.

Beliau mengamblalih Kita pada akhir 2011.

Umno Kota Baru pula berkata peluang menang di parlimen itu sebagai `sangat mustahil.’

AJK Che Mansor Adabi Che Hassan berkata, orang Kota Baru memilih parti yang besar serta kukuh dan bukan yang setahun jagung.

“Kalau Zaid bertanding atas tiket bebas atau Kita, payah nak menang kerana orang Kota Baru nak parti kuat.

“Zaid menang dulu kerana bertanding atas tiket Umno,” kata beliau lagi.

Zaid dinasihat bersara

Sementara itu, Zamil Ibrahim yang mendakwa sebagai ketua baru Kita berkata, beliau tidak mengesahkan Zaid bertanding di bawah parti itu.

Sebaliknya, bekas pengerusi Kita Kedah itu menasihatkan Zaid bersara dari politik keranahanya memakai topeng liberal/demokratik tetapi melakukan sebaliknya.

Dalam kenyataan melalui SMS hari ini, Zamil meminta ahli parti seluruh negara bertenang.

Zamil yang dipecat awal bulan lalu menegaskan Zaid semasa menerajui parti telah menunjukkan keegoannya dan hanya memikirkan diri sendiri.

Beliau meminta rakyat sedar tentang rekod Zaid yang menurutnya asyik putar belit dan tidak konsisten.

“Umno, PKR dan Kita sudah sedar dengan permainan politik peribadinya dan minta semua parti yang ingin membuat tawaran supaya tidak membuat tawaran,” katanya lagi.

Zamil mendakwa beliau dipilih sebagai ketua Kita yang baru dalam mesyuarat tergempar dua minggu lalu dan sedang menunggu pengesahan Pendaftar Pertubuhan.

Tiada ulasan: