Jumaat, 23 Mac 2012

Najib kecewa pengkritik "cetek", tetapi...

Lim Hong Siang


Buat kali kedua Perdana Menteri Najib Razak tampil ke stesen radio bahasa Cina untuk rancangan temubual, kali ini di stesen 98.8, selepas wawancara bersama One FM pada tahun yang lalu. Ia semestinya ditafsir sebagai usaha Najib untuk mendampingi masyarakat Cina menjelang PRU 13, khususnya apabila tinjauan terbaru oleh Merdeka Center memperlihatkan tahap populariti Najib di kalangan responden Cina hanya mencatat 56%, terendah berbanding responden India (80%) dan Melayu (74%).

Malah, wawancara ini menarik perhatian sedikit sebanyak, khususnya dengan isu-isu yang melambak sejak kebelakangan ini. Antaranya, kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, usaha mempertahankan Jalan Sultan sebagai tanah warisan, kekurangan guru di sekolah rendah aliran bahasa Cina yang bakal diluahkan protes melalui satu perhimpunan pada 25 Mac di Kajang dan sebagainya.

Bagaimanapun, tiada sesuatu yang "baru" dari wawancara selama sejam, antara jam 9 hingga 10 pagi ini. Najib mengulangi kenyataan "tutup kilang Lynas jikalau terdapat bukti saintifik yang menunjukkan ia menjejaskan kesihatan penduduk", "kerajaan perlu imbangi antara pembangunan dan bangunan warisan sejarah", "kerajaan sedang mengkaji kertas cadangan daripada Timbalan Menteri Pelajaran Wee Ka Siong untuk langkah seterusnya" dan sebagainya.

Wawancara dijalankan dalam bahasa Inggeris, diterjemahkan ke dalam mandarin dan kantonis oleh empat orang pengacara dalam rancangan pagi ini. Tiada soalan susulan selepas Najib memberi jawapannya, malah tiada soalan yang lebih tajam selain daripada isu-isu di atas.

Najib kecewa pengkritik "cetek"

Mungkin antara yang paling menarik adalah apabila Najib diajukan soalan sama ada dirinya berasa marah dengan kritikan yang dilontarkan untuk menghina beliau. Najib berkata padahal dirinya lebih "kecewa" terhadap pengkritik yang "cetek" ini, meskipun mendakwa dirinya mengalu-alukan kritikan yang positif.

Kenyataan ini mengundang kritikan warga internet selepas dilaporkan media internet seperti MerdekaReview edisi bahasa Cina. Sesetengah pembaca mendakwa rakyat bukan sahaja kecewa, tetapi patah hati dengan Najib. Ada pula yang menyindir, bukankah Najib (gambar kiri) lebih cetek apabila gagal menjawab soalan warga internet yang cetek?

Satu lagi soalan yang diajukan berbunyi, sama ada Najib menganggap dirinya "ahli politik" (politician) atau "negarawan" (statesman). Menjawab soalan ini, Najib menganggap dirinya merupakan gabungan antara "ahli politik" dengan "negarawan". Untuk beliau, negarawan melakukan sesuatu untuk generasi seterusnya, sementara ahli politik bekerja untuk pilihan raya. Najib mendakwa dirinya mempunyai wawasan, lantas menggagaskan transformasi ekonomi dan politik. Namun pada masa yang sama beliau juga seorang yang pragmatik, sedar bahawa dirinya perlu menang dalam pilihan raya untuk merealisasikan wawasannya.

Bagaimanapun hujah-hujah sedemikian tidak disambut secara positif oleh warga internet. Jika diteliti reaksi warga internet, wawancara pada pagi ini sebenarnya tidak memberi "nilai tambahan yang positif" terhadap Najib Razak. Jelas, warga internet menuntut sesuatu yang lebih daripada itu. Belumpun wawancara ini bermula, warga internet telah membanjiri laman Facebook 988 dan pengacaranya dengan kritikan.

Antaranya, salah seorang pengacara Kian telah menyeru agar audiens menghantar soalan yang ingin diajukan kepada PM Najib melalui sms, sehari sebelum wawancara ini dijalankan. Seruan ini dipertikaikan peminatnya - mengapa soalan bukan dihantar serentak ketika rancangan wawancara ke udara? Apakah langkah ini bertujuan untuk memadamkan soalan yang tidak diingini?

Seorang lagi warga internet menuntut Najib untuk menjawab bilakah beliau akan membatalkan projek Lynas? Secara terus-terang, beliau menolak jawapan "senario menang-menang", dan hanya mahu satu jawapan - YA atau TIDAK - dalam soal sama ada Lynas akan dibatalkan.

Oleh yang demikian, tidak hairan apabila sesetengah warga internet merungut Najib sekadar membazir masa untuk bercakap kosong - kerana tiada sesuatu yang baru, atau sesuatu yang terperinci daripada wawancara ini. Malah, seandainya diteliti laman sosial rasmi bahasa Cina Najib, Ah Jib Gor, ia dibanjiri dengan kritikan. Apabila sesetengah warga internet cuba membela Najib, mendakwa bahawa Najib harus diberi lebih masa untuk menjalankan transformasinya, dengan serta merta ia dibalas dengan komen "bagi dia lebih masa untuk memenuhi ketamakannya?"

Apa yang menimpa stesen 98.8...

Sesungguhnya tidak kurang komen yang menyatakan sikap boikot sama ada terhadap rancangan wawancara ini mahupun stesen radio 98.8 lantaran wawancara bersama Najib - yang disifatkan kurang rasional atau bersifat emosi. Bagaimanapun, tikam lidah antara warga internet turut membawa sesuatu yang positif.

Ada yang mengeluh, sambil mengingatkan bahawa stesen radio 98.8 dimiliki MCA, salah satu parti komponen Barisan Nasional, maka janganlah ia ditaruh harapan yang tinggi sangat. Pada masa yang sama, mereka yang mendakwa mahu boikot stesen 98.8, ketika disindir "bersifat emosi", membalas sindiran itu dengan mencabar agar media tersebut mengundang Ketua Pembangkang ke rancangan yang sama.

Pendek kata, zaman memonopoli ruang bersuara arus perdana telah berakhir. Pemerintah mungkin mahu dirinya ditampilkan dengan imej yang positif, dengan penapisan soal-soalan yang dianggap kritikal, namun tindakan sedemikian hanya mengundang lebih ketidakpuasan. Bukan sahaja ahli politik yang bakal dihujani kritikan, malah media yang menyumbang ke arah itu juga tidak terelak dari gelombang suara yang menuntut ruang demokrasi dan kebebasan.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: