Jumaat, 2 Mac 2012

Mustafa : Isu Timbalan Presiden PAS Bukan Islam Selesai

Post Pic

ANTARA POS.COM


PETALING JAYA : PAS menganggap kenyataan kontroversi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berhubung pimpinan tertinggi bukan Islam dalam PAS sebagai telah selesai.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata isu tersebut tidak harus diperbesarkan setelah Dr Dzulkefly memberi penjelasan secara bertulis kepada pimpinan tertinggi parti.

"Saya sudah jumpa dia semalam (Khamis). Dia pun sudah beri penjelasan bertulis, bukan kepada saya sahaja tapi kepada semua pimpinan.

"Saya kira isu ini sudah habis dan tak perlu diperbesarkan lagi," katanya lapor mStar Online.

Menurut Mustafa, beliau bersama pimpinan tertinggi PAS bertemu Dr Dzulkefly ketika menghadiri Mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, semalam bagi membincangkan kemelut yang melanda pentadbiran PAS Kedah.

Dr Dzulkefly yang turut hadir ke mesyuarat itu telah memberi penjelasan berhubung kenyataannya kepada pimpinan tertinggi PAS.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Jelas beliau, isu ini tidak dilihat sebagai satu isu besar sehingga boleh menjejaskan imej dan kredibiliti parti.

"Setakat ini saya puas hati (penjelasan). Bukan satu isu besarlah...dan sudah selesai," tegasnya.

Mustafa, dalam kenyataannya sebelum ini berkata kenyataan Dr Dzulkefly itu hanyalah sekadar teori.

Bagaimanapun, Mustafa berpendapat perlembagaan PAS menyebabkan parti itu tidak boleh menerima bukan Islam memegang jawatan tertinggi parti berkenaan.

“Saya kira PAS patut kekalkan sahaja apa yang ada sekarang,” memetik kenyataannya terdahulu.

Dr Dzulkefly menimbulkan kontroversi dengan kenyataan beliau mengenai kesediaan PAS menerima bukan Islam menduduki jawatan tertinggi dalam parti, sehingga ke peringkat timbalan presiden sekiranya ada keperluan.

Dr Dzulkefly berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengambil bahagian dalam forum bertajuk 'Mengapa Undi Melayu Pecah' di Shah Alam, Selasa.

Dr Dzulkefly percaya perkara berkenaan tidak mustahil memandangkan ia boleh menangani perubahan dalam pembaharuan intelektual dan tahan terhadap cabaran semasa.

"Mungkin belum ada keperluan untuk perkara ini sekarang, tetapi kalau sudah diutarakan, kami bersedia berbincang perkara ini dalam Muktamar PAS.

"Bagaimanapun, ini bergantung kepada keperluan parti," kata Dr Dzulkefly.

Tiada ulasan: