Selasa, 27 Mac 2012

Minda dan jiwa juga sedang bangkit!

Adam Adli


Sejak akhir-akhir ini, salah satu trend yang rancak menitip di bibir masyarakat dan kaum pengamal politik adalah "kebangkitan anak muda dan mahasiswa". Apabila kita bicara soal kebangkitan anak muda dan mahasiswa, umum gemar mengaitkan kebangkitan itu dengan analogi dan naratif seperti Arab Spring, demonstrasi BEBAS 17 Disember, Tragedi UPSI Berdarah 1 Januari, Himpunan Hijau 2.0, dan juga sekali-sekala memutar balik masa ke tarikh 9 Julai 2011 (BERSIH 2.0).

Persamaan antara tajuk-tajuk kebangkitan ini adalah satu: demonstrasi dan himpunan. Pada satu segi, benar; kebangkitan anak-anak muda dan mahasiswa ini boleh digambar dan dizahirkan rupa bentuk fizikalnya melalui siri-siri demonstrasi yang mengambil tempat dalam rentetan sejarah moden negara. Secara peribadi, saya juga berbangga dengan gelaran "demonstran", apatah lagi majalah rujukan terunggul dunia seperti TIME juga menamakan "protesters" sebagai Person of The Year.

Namun dari satu sudut pandang yang lain, kebangkitan anak-anak muda mahasiswa ini sebenarnya bukan hanya diukur melalui jumlah batang tubuh yang turun ke jalan raya semata-mata. Kebangkitan sebenar anak-anak muda dan mahasiswa adalah kesedaran jiwa dan daya fikir mereka.

Hari ini, kita mampu melihat kebangkitan aqliah anak-anak muda. Kebangkitan yang bukan hanya terletak pada keberanian untuk turun ke jalan raya sebaliknya juga keberanian untuk mencabar arus pemikiran dan dogma-dogma kuno yang lama membelenggu kotak fikiran rakyat. Kepercayaan karut seperti "kerajaan mengetahui segala-galanya" dengan mudah dibakul sampahkan oleh pemilik-pemilik otak segar dan muda ini. Kebangkitan yang lebih besar dari keberanian untuk turun ke jalan raya adalah keberanian mereka untuk berfikir, dan mengembangkan idealisma yang dibina dan diasah hasil dari proses analisis; baik secara akademik mahupun pengalaman semasa. Bentang sahaja dinding laman-laman sosial, cetuskan sahaja isu-isu dan tajuk-tajuk untuk dibincangkan; sejuta bentuk idea dan komentar dapat dikumpul melalui kupasan-kupasan kritis golongan yang digelar Gen-Y ini. Kesedaran mengenai kepincangan, hak, isu, kebajikan, ideologi, masalah setempat, dan segala bentuk persoalan serius lain inilah sebenarnya yang boleh kita gelar sebagai kebangkitan anak-anak muda mahasiswa.

Suatu masa dahulu, masyarakat kita banyak dibelenggu oleh taboo dan sekatan-sekatan minda hasil dari doktrinisasi ortodoks samada pemerintah mahupun golongan-golongan yang seangkatan dengannya. Hari ini, taboo-taboo ini terus menerus dilanggar dan dipecahkan oleh pemikir-pemikir muda. Walaupun kerap mengundang kontroversi dan kejutan kepada komuniti masyarakat yang masih dalam zon selesa, pemecahan terhadap tembok pemikiran ini sebenarnya berjaya untuk menghasilkan pencerahan minda, perdebatan ilimiah, penyelongkaran sejarah, dan tentu sekali perubahan gaya fikir dan gaya hidup masyarakat terutama sekali golongan muda.

Contoh mudah, suatu masa dahulu, tiada siapa yang berbangga dicop sebagai pembangkang, tiada siapa yang mahu digelar sebagai sosialis, tiada siapa yang mahu dilihat bergaul dengan golongan homoseksual, malah tiada siapa juga yang mahu dilihat berada di dewan-dewan Cina (kecuali kaum Tiong Hua sendiri!). Hari ini, segalanya berubah. Anak-anak muda dan mahasiswa mahu dilihat sebagai progresif, punya identiti dan idealisma, tidak mudah tunduk kepada pemikiran konservatif; malah berbaju batik juga tidak lagi digemari! Pendakwah-pendakwah muda yang progresif misalnya hari ini lebih gemar berada di kawasan-kawasan yang bergelumang "maksiat" seperti di acara-acara gig, pusat karaoke, lorong-lorong pelacur dan sebagainya. Taboo atau pantang-larang yang dahulunya dijauhi kini dipecahkan oleh golongan muda ini. Inilah antara hasil kebangkitan aqliah atau minda yang sedang melanda Negara kita sebenarnya.

Sedarlah bahawa kebangkitan minda dan jiwa ini perlu terus disuburkan oleh anak-anak muda dan mahasiswa hari ini. Pada masa golongan yang lebih tua sedang sibuk merebut kuasa politik dan melantun-lantunkan "agenda perubahan", anak-anak muda yang berada di peringkat akar umbi sebenarnya tidak perlu terlalu terikut dan terikat dengan bentuk perubahan yang sedang diukir pemain-pemain politik tua ini. Perubahan di peringkat pemerintahan politik adalah penting; namun puncaknya hanyalah pada apa yang dipanggil "regime change", sedang yang lebih besar dan mampu diluaskan lagi adalah perubahan aliran pemikiran dan kenyataan hidup kita sebagai anggota masyarakat sendiri. Tiada gunanya berubah kerajaan namun sistem hidup masyarakat masih lagi sama. Seperti kata lirik lagu Rakyat Bersatu yang didendang enak oleh Meor Yusof Aziddin "rakyat sekolah tidak akan dikalah, rakyat bersatu tidak akan ditipu; rakyat berani, perompak akan lari!".

Perubahan sebenar masih lagi letaknya pada rakyat sendiri, dan hari ini adalah zaman anak muda pula mengisi sistem masyarakat. Anak-anak muda yang minda dan jiwanya bangkit menolak pembodohan dan kebobrokan penguasalah sebenarnya yang mampu menjamin perubahan yang lebih baik dan syumul.

Tiada salahnya kita menyambut kebangkitan minda dan jiwa ini. Tiada dosanya kita menentang arus apabila kita sedia sedar arus ini hanya membawa kita ke arah yang salah dan merugikan kita. Tindakan mahasiswa cakna yang cuba menyerahkan batu nisan kepada Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini adalah manifestasi kebangkitan minda dan jiwa mereka yang sedar hak demokrasi mereka. Tindakan anak-anak muda Occupy berhimpun setiap malam minggu di Dataran Merdeka juga adalah manifestasi kebangkitan minda dan jiwa mereka yang mahu berfungsi sebagai masyarakat sivil. Semburan-semburan kreatif dengan mesej-mesej perubahan di dinding-dinding kota raya juga tidak harus dilihat sebagai vandalisma semata-mata, sebaliknya itu juga manifestasi kebangkitan minda dan jiwa seni yang percaya kepada perubahan. Kebangkitan fizikal dan maya ini adalah titik perubahan penting ke arah masyarakat yang lebih baik dan cerdik. Lahirnya dari otak, dan disalurkan juga dengan menggunakan otak.

Maka yang demikian, apabila kita memahami bentuk-bentuk kebangkitan yang sedang tumbuh dan bercambah setiap hari, kita akan mampu menilai semula sejauh mana agenda perubahan dan kebangkitan yang sedang rancak ditiupkan ke telinga masyarakat hari ini mampu berlaku dan memberi kesan kepada Negara dan rakyat. Apabila kebangkitan anak muda disalurkan ke jalan raya, mungkin penguasa dengan mudah sahaja boleh melakukan sekatan, tangkapan, dan serangan fizikal, namun kebangkitan dalam jiwa dan minda, adalah mustahil untuk disekat. Mungkin sahaja jasad seseorang boleh dipenjara, namun roh dan semangat kebangkitannya akan terus terbang bebas. Kebangkitan anak muda dan mahasiswa yang tersembunyi inilah sebenarnya yang harus kita titik beratkan. Kebangkitan minda dan jiwa anak muda dan mahasiswa inilah yang sebenarnya mampu untuk mengubah nasib rakyat di Negara demokrasi ini. Dan kebangkitan ini akan sentiasa berkembang dengan pelbagai cara.

Pada ketika saya menulis ini, saya juga sedang mengerahkan kebangkitan jiwa dan minda dalam diri saya. Pada ketika anda membaca tulisan ini juga, kebangkitan itu sedang dihembus dan disebar luas ke atas anda. Kebangkitan anak muda dan mahasiswa sememangnya sedang berlaku pada saat dan ketika ini, dan semua dari kita sebenarnya sedang terlibat. Cuma yang masih menjadi persoalan; apa pengakhirannya?

*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Tiada ulasan: