Jumaat, 2 Mac 2012

Menteri : Garis Panduan Bagi Umat Islam Rai Majlis Orang Bukan Islam Telah Ditetapkan Sejak 2005

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sebelum ini telah menetapkan garis panduan bagi orang Islam untuk menghadiri mahupun meraikan perayaan orang bukan Islam.

Malah katanya, garis panduan dan syarat-syarat tersebut telah dikeluarkan sejak tahun 2005 lagi.

Jamil Khir berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua Pembangkang yang mengenakan 'kum-kum' ketika hadir di majlis sambutan Hari Ponggal di sebuah kuil Febuari lalu.

"Garis panduan tersebut sudah ada di dalam muzakarah fatwa dan peraturannya juga sudah ada. Jadi nak hadir macam mana majlis yang dibenarkan rujuk sahaa di dalam laman web Jakim (pautan fatwa). Malah garis panduan itu sudah lama diwujudkan (fatwa itu) cuma ramai orang yang tidak menyedari," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan bantuan am pelajaran kepada pelajar Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) bertempat di Bangunan Wisma Baitulmal,di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan pelajaran kepada seramai 110 pelajar daripada 6 kursus yang ditawarkan oleh pihak PICOMS yang berjumlah sebanyak RM330,000.

Menurut Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu, garis panduan terbabit boleh didapati di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), melalui pautan e-Fatwa.

Malah, tinjauan Antarapos.com berhubung garis panduan itu jelas menunjukkan tindakan Anwar itu bertentangan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Febuari lalu membenarkan dahinya dicalit dengan kum-kum ketika hadir di majlis sambutan Hari Ponggal di sebuah kuil.

Bagaimanapun, tindakan ini dipertahankan Setiausaha Agongnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan mendakwa media arus perdana cuba mempolitikkan isu tersebut dengan menyiarkan gambar Anwar berpakaian tradisi masyarakat India termasuk serban serta dicalit dengan kum-kum yang lazim diamalkan di majlis sembahyang agama Hindu.

Berikut antara kriteria-kriteria yang telah diputuskan adalah majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, contohnya :

i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

Bagi maklumat selanjutnya bolehlah melayari laman web Jakim untuk pelbagai rujukan dan garis panduan bagi sebarang kekeliruan.

Tiada ulasan: