Rabu, 21 Mac 2012

Kutipan derma langkaui batas kaum: Solidariti menentang keganasan polis

Lim Hong Siang


Sebulan lalu kita menyaksikan adegan yang terharu apabila sekumpulan suri rumah tangga dan warga internet mengutip derma untuk membayar denda dan mengikat jamin belasan OKT (orang kena tahan), yang disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009.

Inisiatif kutipan derma tersebut amat terharu buat Aiman Athirah Al Jundi (gambar kiri, kiri), salah seorang OKT, yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, meluahkan perasaannya, "...kerana dia (orang yang melancarkan kutipan derma) orang Tionghua, dan kesemua OKT adalah Melayu. Ini bukan untuk membezakan apa, tetapi dalam konteks ini, ia menunjukkan generasi muda prihatin terhadap masa depan negara, dan keadilan untuk semua rakyat yang memperjuangkan hak." 【Baca: Aiman terharu dengan sumbangan derma, "Dia Tionghua, Kami semua Melayu, tapi..."

Kali ini, hukuman yang dijatuhkan ke atas Ahmad Syauqey bin Abdul Ghani telah mencungkil simpati ramai, dan kutipan derma kini sedang dilancarkan sebagai persediaan untuk mengikat jamin beliau pada 26 Mac 2012, seandainya permohonan untuk menangguhkan hukuman dan ikat jamin dibenarkan.

Ahmad Syauquey (gambar kanan) dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan pada 8 Mac 2012, di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan, atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. Beliau mendakwa dirinya meminta kad kuasa daripada polis yang menghalangnya dalam satu sekatan jalan raya pada 20 Jun 2011, dan tindakannya telah mengundang kemarahan polis sehingga dirinya dikasari. Aduan Ahmad tidak dipeduli, sebaliknya beliau yang dihukum akhirnya.

Berita ini telah dilaporkan MerdekaReview pada 19 Mac, menarik perhatian ramai. Aktivis sosial, Wong Chin Huat telah menyeru di laman sosial Facebook, agar warga internet menyumbang untuk mengikat jamin Ahmad Syauquey.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Wong Chin Huat (gambar kiri) berkata, kes Ahmad Syauquey menyaksikan bagaimana seorang warga sivil yang biasa tampil ke depan untuk menentang kezaliman. Chin Huat berkata, mungkin kita boleh samakan Ahmad Syauquey dengan Rosa Parks (yang menentang diskriminasi terhadap kaum kulit hitam di Amerika Syarikat), sungguhpun mungkin yang membezakan mereka adalah Syauquey mempunyai latar belakang aktivisme.

"Apa yang penting, Syauquey sekadar melakukan sesuatu berlandaskan undang-undang. Meminta kad kuasa polis adalah hak rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan untuk memastikan polis itu bukan samaran. Apa yang berlaku sekarang adalah aduan Syauquey bahawa dirinya dikasari polis itu tidak diendah, malah dirinya pula dihukum kerana bertindak berlandaskan undang-undang," jelas Chin Huat.

Mengapa memanggil kutipan derma untuk Syauquey? Chin Huat berkata, seandainya orang yang berani tampil ke depan untuk menentang kezaliman ini dihukum, dan dibiarkan keseorangan, maka tiada lagi yang berani tampil pada masa depan. Oleh itu, kita perlu membantunya, menghilangkan kebimbangan keluarganya lantaran kes yang mengheret Syauquey, katanya.

Laman sosial Facebook yang menyeru derma untuk membebaskan Syauquey menulis, "Menegur orang yang berkuasa bagai melukut di tepi gantang. Sistem kehakiman dan institusi awam yang ada hari ini hanya eksklusif untuk yang punya wang dan kuasa. Polis yang memijak kepala rakyat tak disiasat, yang memijak pula boleh tersenyum melihat mangsa itu dipenjara 12 bulan! Inilah realiti apabila memilih untuk melawan polis yang zalim dan menindas rakyat. Mari kita bersama-sama berjuang menumbangkan regim yang ada hari ini agar tiada lagi penindasan seperti yang dialami Ahmad Syauqey. Hulurkan sumbangan anda bagi membantu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Jumlah yang diperlukan adalah RM10,000.

Solidariti Menentang Keganasan Polis!
"

Laman ini dikendalikan seorang warga internet bernama Pow Kiew An. Ketika dihubungi MerdekaReview, beliau berkata dirinya telah mendapat keizinan daripada isteri Syauqey untuk kutipan derma ini. Ketika ditanya mengapa dirinya terpanggil untuk melakukan usaha ini, Pow Kiew An berkata, "Syauquey berusia 37 tahun, seorang bapa seperti saya. Sebagai seorang bapa yang muda, kita semua berjuang untuk anak kita. Saya ternampak bayang diri saya di dalam Syauqey."

"Kami nak beritahu Syauqey, beliau tidak keseorangan," kata Pow Kiew An.

Menurut laman Donate To Free Syauqey, wang derma ini disalurkan kepada akaun Maybank isteri Pow Kiew An, yang bernama TAN SOOK BOON dengan nombor akaun 114235694545. Beliau menjelaskan bahawa baki akaunnya adalah RM30 sebelum ini, dan setelah kesemua wang dikutip, beliau akan menyerahkan kepada Lawyers for Liberty. Bagaimanapun, perkhidmatan bank itu tergendala sementara kerana kemasukan wang secara tiba-tiba, dan Pow berjanji akan menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat.

Pembaca diseru mengikuti laman sosial Facebook Donate To Free Syauqey untuk perkembangan terbaru.

Baca: Ahmad Syauqey: Kenapa harus saya bayar wang kepada peguam untuk membela saya?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: