Sabtu, 3 Mac 2012

Kolej Komuniti tonggak lahirkan tenaga mahir

FREE MALAYSIA TODAY

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kolej komuniti telah dipertanggungjawabkan sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat.



SEGAMAT: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kolej komuniti di negara ini wajar menjadi tonggak menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi kelompok masyarakat yang berpotensi melonjakkan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata kolej komuniti yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat perlu memainkan peranan dalam menyediakan tenaga kerja selaras dengan dasar komprehensif pembelajaran sepanjang hayat yang diperkenalkan kerajaan.

“Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 telah dilancarkan pada 14 Nov tahun lepas dengan objektifnya untuk menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu gaya hidup masyarakat Malaysia bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Dalam konteks ini, kolej komuniti telah dipertanggungjawabkan sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat dan melaksanakan program berorientasikan kemahiran dan mempunyai fokus seperti latihan magang untuk golongan masyarakat yang kurang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan Kolej Komuniti Segamat 2 di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan perjanjian persefahaman antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Timbalan Perdana Menteri berkata selaras matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, tenaga kerja mahir dan berproduktiviti amat kritikal untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Bersesuaian dengan moto kolej komuniti sebagai ‘Peneraju Komuniti Berilmu dan Berkemahiran’ untuk memberi khidmat kepada semua golongan masyarakat, masyarakat setempat hendaklah memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata kerjasama rapat di antara semua pihak berkepentingan seperti industri, ahli akademik, ibu bapa dan badan bukan kerajaan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan mampu bersaing.

“Ini penting supaya bekalan tenaga kerja mahir adalah mencukupi dan kebergantungan kepada tenaga buruh asing dapat diminimumkan serta secara tidak langsung akan mampu meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Mengenai perjanjian persefahaman antara Kementerian Pengajian Tinggi dan PERHEBAT, Muhyiddin berkata usaha itu dapat melatih anggota tentera yang bakal bersara mendapat kemahiran.

Kerjasama produktif antara kolej komuniti dan sektor swasta, katanya akan memudahkan pengaliran pengetahuan dan menggalakkan pembangunan rangkaian bagi penciptaan, pengedaran dan penyebaran pengetahuan.

Beliau berharap lebih banyak pihak terutama sektor industri memilih kolej komuniti sebagai institusi untuk melatih pekerja bagi memenuhi tuntutan industri dan melatih mereka menjadi usahawan.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan bagi kemudahan penduduk Segamat termasuk RM6 juta bagi pembinaan enam bilik darjah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad Arshad, RM4.5 juta bagi pembinaan Masjid Taman Yayasan dan RM4 juta bagi pembinaan bangunan gantian bilik darjah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Nan- Bernama

Tiada ulasan: