Isnin, 5 Mac 2012

Kesemua Akur Dan Patuh Arahan PAS Pusat Tapi...

KELAB GREENBOC

Exco: Phahrolrazi, Ismail akur keputusan PAS Pusat


KUALA LUMPUR: Isu pergolakan kerajaan negeri Kedah selesai apabila Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh akan menyertai semula barisan Exco kerajaan negeri.

"Matlamat saya sudah tercapai, saya akan sertai semula Exco," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya, apa matlamat itu, Phahrolrazi berkata, beliau mahu pentadbiran negeri Kedah dijalankan secara berjamaah.

"Dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, ini bermakna akan ada pihak yang memantau pentadbiran negeri," kata beliau lagi.

Dr Ismail Salleh pula ketika dihubungi berkata, beliau juga menerima baik keputusan PAS Pusat dan akan menyertai semula exco sebagaimana yang diarahkan.

"Kami buat baru-baru ini macam kamikaze untuk meminta pimpinan memberikan perhatian kepada apa yang berlaku di Kedah ini. Sekarang semua dah beri perhatian dan mekanisma pentadbiran juga dibentuk melalui Jawatankuasa Pemandu, kami akan sertai semula exco selepas diarahkan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau memberi jaminan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkuatkan PAS dan menjatuhkan Umno di negara ini.

"Kami tidak ada niat lain melainkan untuk kepentingan jamaah. Kami bukan nak jadi Hasan Ali. Tok Guru Haji Hadi tok guru kami, ustaz kami. Kami hormati mereka," kata Dr Ismail yang bersama Phahrolrazi tidak mengangkat sumpah exco baru-baru ini.

Kedua-dua mereka mengulas keputusan PAS Pusat yang menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau semua kerajaan negeri yang ditadbir dan disertai PAS.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Alor Setar awal pagi semalam.

Meyuarat itu diadakan selepas pertemuan muhibbah PAS Pusat dan PAS Kedah yang diadakan sebelum itu iaitu mulai jam 10 malam Sabtu hingga jam 3.00 pagi semalam.

Pagi ini, di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengumumkan keputusan mesyuarat JK Pusat di Alor Setar semalam.

"Dalam mesyuarat tersebut kita telah memutuskan bahawa Datuk Seri Diraja Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar.

"Selain itu juga kedua-dua exco perlu kembali dalam Exco Pentadbiran Negeri Kedah.

"PAS akan menubuhkan satu JK Pemandu untuk membantu negeri-negeri yang PAS tadbir dan negeri yang PAS sertai," jelasnya ketika bercakap pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini. -HD

Ismail tolak exco jika tiada 'perubahan pentadbiran'

Exco kerajaan negeri Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata, beliau tidak akan menerima lantikan semula jawatannya selagi tiada penambahbaikkan dalam 'pentadbiran' negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Razak.

Katanya, perubahan perlu dilakukan memandangkan pelbagai masalah-masalah dalaman yang telah timbul.

"Jika perubahan tidak ada, saya tidak akan terima (jawatan exco). Perubahan mesti dilakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Saya nak perubahan tertentu dalam pentadbiran negeri. Saya juga mahu (PAS) Pusat ambil perhatian terhadap masalah yang kami hadapi.

"Dah lama benda ini kami sebut tapi tidak buat apa-apa. Jadi kami ini seolah-olah 'kamikaze' untuk perkara ke arah kebaikan."

Walaupun enggan mengulas sama ada beliau merujuk supaya menteri besar diganti, Ismail berkata, isu berhubung "orang yang mentadbir" perkara kedua.

Ditanya lagi sama ada Azizan perlu meletakkan jawatan, Ismail berkata, terpulang kepada kepimpinan Pusat PAS untuk membuat keputusan.

"Kami sudah beritahu apa yang kami tidak puas hati. Bergantung pada Pusat untuk menilai. Kalau perlu (letak jawatan), buat. Pusat lebih layak buat keputusan," katanya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata, Ismail dan seorang lagi exco Datuk Phahrolrazi Zawawi perlu menerima semula jawatan mereka kerana sudah diputuskan dalam mesyuarat khas di Alor Setar pada Sabtu lalu.

Marah sebab tak faham

Selain itu, Ismail menjelaskan, apa yang dilakukannya ini bukanlah sebagai tanda kecewa terhadap parti tetapi demi kebaikan.

"Saya harap orang faham apa yang saya buat. Ada orang yang marah dengan tindakan saya ini. Saya anggap mereka tak faham. Bila tak faham, mereka marah.

"Saya bukan kecewa dan saya bukan kejar jawatan. Apa yang saya nak ialah perubahan ke arah lebih baik. Untuk perubahan yang baik itu payah dan yang susah itu kami pilih.

"Saya cuma mahu pertahanankan Kedah pada pilihan raya akan datang dan seterusnya ke Putrajaya " ujarnya.

Ismail dan seorang lagi exco Datuk Phahrolrazi Zawawi (kanan) dijadual mengadakan sidang media di Alor Setar hari ini bagi mengumumkan tindakan lanjut mereka.
-mk


Azizan: Saya patuh arahan Pas Pusat

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akur pada keputusan muktamad pimpinan Pas Pusat berhubung kemelut pelantikan Exco Pas, yang menetapkan kedua-dua Exco terlibat, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang sebelum ini menolak tawaran dilantik semula bagi penggal 2012/2013.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, selaku pemimpin tertinggi Pas Kedah dan negeri, beliau perlu mematuhi arahan yang diputuskan oleh Pas Pusat.

“Saya ikut sahaja apa jua keputusan dalam mesyuarat yang diputuskan Pas Pusat, termasuk arahan yang dikeluarkan. Pada awal lagi, bukan saya yang buang mereka, tetapi mereka yang tidak mahu,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan keputusan yang dicapai selepas pertemuan melibatkan semua pihak di kediaman rasmi Menteri Besar, di Seri Mentaloon, malam kelmarin, Pas Pusat memutuskan Azizan kekal sebagai Menteri Besar sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Phahrolrazi dan Ismail kembali sebagai Exco dalam pentadbiran negeri selain menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat untuk memantau dan memberi pandangan kepada negeri-negeri diterajui Pas dan negeri-negeri di mana Pas adalah sebahagian daripada pentadbiran negeri tersebut.

Azizan turut menyerahkan sepenuhnya kepada Pas Pusat untuk berbincang dengan kedua-dua Exco berkenaan sekiranya, selepas arahan dikeluarkan, timbul masalah lain membabitkan mereka.

“Jika selepas ini pun, mereka masih enggan ikut arahan yang ditetapkan Pas Pusat, saya nak buat macam mana. Selepas ini, saya serah pada Pusat untuk uruskan, lagipun isu ini sudah diambil sepenuhnya oleh Pusat dan mereka akan pantau apa yang berlaku,” katanya.

Dengan nada sedih, Azizan berkata, “Saya tak kelahi dengan sesiapa pun, tetapi orang yang cari gaduh dengan saya.”

Azizan bagaimana pun berkata, buat masa ini beliau belum berhasrat untuk mengadakan sidang media khas berhubung isu ini. -SH


Ulasan GB

Kamikaze?

Niat yang baik tetapi kaedah yang salah (sehingga jemaah menjadi porak-peranda) tidak menepati akhlak jemaah.

Anehnya semua tak mahu diasosiasikan dengan nama Hassan Ali, tapi cara dan tindakan Hassan Ali itulah yang diikutinya.

Dewan Ulamak PAS Pusat perlu lebih proaktif selepas ini supaya semua ahli jemaah khususnya peringkat "pemegang jawatan" diberikan tarbiyah sewajarnya.

Ketara di dalam isu Kedah ini ada ahli peringkat pimpinan sendiri tidak mengethaui kaedah tanzim di dalam jemaah.

Tiada ulasan: